PM lancar penyambungan LRT jajaran Kelana Jaya dan Ampang Jaya...
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nakib Tun Razak berkata, projek penyambungan dua jajaran LRT Kelana Jaya dan Ampang bernilai RM8 billion membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah menepati janjinya kepada rakyat Malaysia.
"Bila saya ambilalih tampuk kepimpinan negara pada 2009 kita telah
mengadakan siri percambahan fikiran yang telah dikelolakan oleh PEMANDU
pada ketika itu.
"Kita lihat bahawa salah satu daripada cabaran dan kelompongan yang berlaku dalam negara kita ialah masalah pengangkutan.
"Ini adalah kerana pemimpin sebelum saya yang memerintah selama 22
tahun tidak begitu memberi perhatian kepada pengangkutan awam," katanya.
Najib berkata, berikutan sikap pemimpin terdahulu itu, maka ia
mengakibatkan kelompongan dan kurang pelaburan. Di samping itu katanya,
berlaku sistem yang tidak bersepadu dan dimiliki oleh pelbagai pihak.
"Ini yang menjadikan sistem pengangkutan awam bagi Lembah Kelang
tidak boleh menampung keperluan sebuah bandar moden. Lantas ia
menjadikan kesesakan jalanraya semakin serius.
"Oleh itu di bawah NKRA kita telah menetapkan bahawa pengangkutan awam mesti diberi keutamaan yang paling tinggi.
"Hari ini kita semua menjadi saksi bahawa kerajaan yang ada pada
hari ini telah menepati janjinya kepada rakyat Malaysia," katanya.
Najib berkata demikian ketika merasmikan pembukaan penuh projek
Penyambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Putra
Heights, pada Khamis.
Turut hadir ialah pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri
Ismail Adam dan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),
Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
Najib berkata, projek berkenaan bukan sahaja akan menjadi pencetus
kepada transformasi pengangkutan awam udara tetapi akan menjadi
pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara khususnya bagi kawasan
Lembah Kelang.
Katanya projek ini juga merupakan satu inisiatif untuk
mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam deminkesejahteraan
penduduk dan pengunjung Lembah Kelang.
Katanya kerajaan menyedari bahawa nadi pada pertumbuhan ekonomi
mana-mana negara ialah bandar utamanya. Sehubungan itu ia memutus untuk
meletakkannya sebagai projek keutamaan supaya menggalakkan orangramai
menggunakan pengangkutan awam.
Najib berkata satu kajian yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia,
kesesakan lalu lintas jalanraya boleh menyebabkan pengurangan
pertumbuhan KDNK sebanyak dua peratus.
"Jadi kalau kita dapat pengangkutan awam yang efisien, kurang
kesesakan lalu lintas, maka kadar pertumbuhan negara pun boleh jadi
bertambah sebanyak dua peratus.
"Sebab itulah kita punya sasaran, kita ingin perkongsian modal
pengangkutan awam digunakan orang ramai dinaikkan daripada 21 peratus
pada masa ini kepada 40 peratus menjelang tahun 2030," katanya.
Perdana Menteri berkata projek berkenaan telah dilaksanakan dengan
perancangan yang cukup teliti untuk memasuki kawasan-kawasan penempatan
tinggi seperti Bandar Kinrara, Puchong, Subang Jaya, USJ dan Putra
Heights yang kerajaan jangkakan akan membangun menjadi kawasan
pertumbuhan ekonomi yang rancak pada masa akan datang.
Menurutnya lagi, dalam merangka skim jajaran rel untuk projek
penyambungan jajaran ini, syarat-syarat ketat dan pendekatan terperinci
telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan keselesaan dan
kesejahteraan penumpang diambil berat di samping impak kepada alam
sekitar.
Katanya kajian turut dibuat terhadap impak ekonominya dan telah
dinilai melalui kadar pulangan dalam ekonomi (EIRR) boleh mencatat
sehingga 25 peratus. Ini bermakna, menggunakan metodologi ini projek ini
berjaya memberi kesan ekonomi yang berimpak tinggi.
Sambungan untuk kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang telah beroperasi sepenuhnya sejak 6 pagi Khamis.
Secara keseluruhannya tambahan jajaran ini akan memberi manfaat
kepada jutaan penduduk di Lembah Kelang, khususnya dua juta warga kota
yang menetap di daerah Petaling.
Tambahan jajaran sepanjang 35.1km itu menghubungkan kedua-dua
laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling. Ia melibatkan pembukaan
12 stesen baharu untuk Laluan Kelana Jaya dan 11 stesen baharu untuk
laluan Ampang/Sri Petaling.
Projek ini dijangka menyumbangkan tambahan 300 ribu penumpang sehari untuk perkhidmatan rel Rapid KL.
Jajaran tambahan Laluan Kelana Jaya sejauh 17.4km meliputi kawasan
penempatan tinggi dan perniagaan sekitar seperti Subang, Glenmarie,
Subang Jaya dan USJ dijangka menyaksikan tambahan 170 ribu penumpang
sehari.
Sambungan jajaran untuk laluan Ampang sepanjang 17.7km melalui
taman-taman perumahan dan komuniti bisnes di Bandar Kinrara, Puchong
Prima, Puchong Perdana dan Pusat Bandar Puchong, akan meningkatkan
jumlah penumpang sehari kepada 130 ribu.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyaksikan upacara
pertukaran dokumen Perjanjian Penyerahan dan Operasi MRT antara MRT Corp
Sdn Bhd dan Rapid Rail Sdn Bhd, yang secara rasmi melantik syarikat
Prasarana sebagai operator untuk MRT laluan Sungai Buloh-Kajang.
Najib turut menjari saksi kepada upacara penyerahan Surat
Perlantikan kepada Big Tree Outdoor Sdn Bhd dan Red Berry Group untuk
mewakili Prasarana dalam menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan
ruang iklan di aser-aset rel dan bas milik Prasarana.- 30/6/2016 OLEH
NOOR HASILAH ISMAIL
Comments
Post a Comment