Isu Uber...Pemandu teksi jangan bertindak sesuka hati - SPAD



Pemandu teksi dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dan bertindak di luar batasan terutama berkaitan UBER.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata pihaknya sedang mencari cara terbaik untuk menyelesaikan persengketaan antara pemandu teksi dan UBER.
 
"Sebagai rakyat Malaysia yang dikenali kerana pelbagai bangsa boleh hidup aman damai, kita tidak boleh sesuka hati mengambil tindakan," katanya kepada wartawan selepas majlis berbuka puasa SPAD di Kuala Lumpur, Khamis.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden sekumpulan 50 lelaki dipercayai pemandu teksi yang bertindak keterlaluan dengan menyerang beberapa orang pengguna perkhidmatan UBER, termasuk pelancong, di KL Sentral baru-baru ini.
 
Beliau berkata pemandu teksi tidak seharusnya bertindak sedemikian kerana ia akan menjejaskan perkhidmatan mereka.
 
"Kejadian itu membabitkan pelancong dan tindakan pemandu-pemandu teksi itu telah memberikan imej buruk kepada negara," tambahnya.
 
Dalam kejadian di KL Sentral itu seorang pemandu UBER dan pelanggannya dari Iran diserang oleh pemandu teksi sehingga mengalami kecederaan.
 
"Makin kamu sekat, makin ramai orang nak guna. Kita jangan bertindak di luar batas, mogok di jalan pun akhirnya menyusahkan orang, jalan sesak.
 
"Kerajaan sedang mencari penyelesaian terbaik yang adil kepada semua pihak. Kita tunggulah keputusannya nanti," katanya.
 
Menurut Syed Hamid lagi, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membenarkan UBER beroperasi secara sah memandangkan banyak negara sudah melakukannya.
 
Katanya kerajaan sedang merangka peraturan terhadap perkhidmatan aplikasi UBER dan Grabcar bagi memastikan semua perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini di pantau undang-undang.
 
"Nampaknya UBER dan Grabcar ini sistem yang ramai berminat, mungkin kerajaan nak membenarkan," katanya.
 
Ditanya apakah tindakan yang akan dibuat oleh SPAD ke atas pemandu-pemandu teksi yang terbabit dengan kejadian itu, Syed Hamid berkata dia perlu menunggu siasatan polis terlebih dahulu.
 
"Kita akan tunggu dan lihat. Kita perlu menunggu laporan polis sebelum bertindak, sama ada menggantung perkhidmatan pemandu berkenaan atau menarik balik lesen perkhidmatannya.
 
Pada masa sama, Syed Hamid juga menasihatkan pemandu-pemandu UBER supya tidak bermegah-megah dengan pengiklanan mereka untuk mengelakkan ketegangan dengan pemandu-pemandu teksi sehinggalah kerajaan memutuskan untuk menerima perkhidmatannya secara sah.
 
"Sebelum perkhidmatan anda dilulus dan disahkan, UBER dan Grabcar tidak boleh terlalu menonjolkan diri. Kita tak boleh menghalang mereka, tetapi saya nasihatkan janganlah bermegah-megah mengenai perkhidmatan itu."
 
Syed Hamid berkata, SPAD mengalu-alukan sebarang bentuk perkhidmatan yang menggunakan aplikasi kerana ia terbukti memudahkan, selain sudah berkembang di seluruh dunia.
 
"Sesiapa yang nak beroperasi guna teknologi maklumat, kita jemput sebab ini perkembangan di seluruh dunia. Tapi kita mahu lahirkan suasana yang berperaturan dan mengikut undang-undang," katanya.-23/6/2016- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap