SPAD terbuka kepada perbincangan dengan Consortium Zenith



Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terbuka kepada perbincangan dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang bercadang meluaskan rangkaian rel perkhidmatan kargo yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Suruhanjaya itu bagaimanapun menjelaskan bahawa SPAD belum lagi menerima sebarang permohonan rasmi bagi mendapatkan lesen berkenaan daripada Consortium Zenith.

"SPAD ingin menyatakan bahawa pihak Suruhanjaya belum lagi menerima apa-apa permohonan rasmi bagi mendapatkan lesen tersebut daripada Consortium Zenith.

"Oleh itu, kenyataan daripada syarikat berkenaan bahawa ia sedang menunggu kelulusan SPAD seperti mana yang dilaporkan oleh media, adalah tidak tepat," demikian menurut SPAD dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan, dalam usaha untuk mempelbagaikan perniagaannya, Consortium Zenith BUCG memperuntukkan RM800 juta untuk menempatkan kedudukannya menjadi pengendali kereta api kargo yang mencatat keuntungan dan mampan.

Pengerusinya, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilaporkan sebagai berkata konsortium menunggu kelulusan daripada suruhanjaya untuk meluaskan rangkaian rel yang digunakan oleh perkhidmatan kargo KTMB.-16/2/2016 - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap