1 April - MyBAS akan mula beroperasi di Perak

Mulai 1 April ini rakyat Perak boleh menikmati perkhidmatan bas henti-henti baru yang lebih selesa dan canggih apabila myBAS mula operasi di beberapa kawasan di negeri itu.

"Perkhidmatan di bawah jenama myBAS ini akan menawarkan pengangkutan awam yang lebih bersepadu, liputan rangkaian laluan yang lebih baik, laluan baharu serta perkhidmatan yang boleh dipercayai," kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara SPAD dengan The Combined Bus Services Sdn Bhd (TCBS).

Syed Hamid berkata myBAS adalah sebahagian daripada program Transfornasi Perkhidmatan Henti-Henti (SBST) yang dibiaya oleh Kerajaan.

Pada majlis menandatangi perjanjian itu, SPAD diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Azharuddin Mat Sah dan TCBS diwakili Pengarah Urusan, Dato Seri Cheong Fong Fitt. Syed Hamid menjadi saksi bagi pihak SPAD manakala TCBS diwakili Pengarah Eksekutif, Dato Cheong Peak Sooi.

Menurut Syed Hamid, perkhidmatan myBAS Ipoh akan meningkatkan jaringan bas daripada 132 kilometer dengan 12 laluan kepada 254 kilometer dengan 16 laluan.

Katanya perkhidmatan itu akan diintegrasikan dengan stesen KTM serta melibatkan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan sebelum ini seperti Chemor, RTC Gopeng, Station 18, Menglembu, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, JUSCO Ipoh dan SMK Gunung Rapat.

Semua bas itu dilengkapi Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan SPAD membuat pemantauan dan memastikan syarikat berkenaan menepati waktu, kekerapan operasi dan mempunyai sistem maklumat jumlah penumpang.

Syarikat TCBS yang sebelum ini telah membuktikan keupayaan mereka mengendalikan Perak Transit telah memberikan tawaran terbaik daripada empat syarikat yang memasuki tender terbuka.

Syed Hamid menjelaskan tidak ada perubahan tambang apabila myBAS memulakan operasi.

Di bawah program SBST, pada peringkat permulaan Kerajaan melaburkan RM100 juta bagi pelaksanaan program myBAS di beberapa bandaraya, bermula dengan Kangar (bermula 1 Ogos 2015) dan Seremban (bermula 15 November 2015), diikuti Ipoh dan selepas ini Kuala Terengganu.

Menurut Syed Hamid, sehingga kini jumlah penumpang di Kangar meningkat 50 peratus setelah pelancaran myBAS. Sementara itu di Seremban, sejak myBAS dilaksanakan, jumlah penumpang telah bertambah dari 53,500 kepada 99,000 pada Disember 2015.

Bagaimanapun Syed Hamid mengakui myBAS di Seremban mempunyai masalah kekurangan pemandu berbanding dengan jumlah bas sedia ada.

"Semalam kita telah berjumpa pengurusan syarikat pengendali dan berbincang mengenai cara mengatasi masalah itu. Mereka telah berjanji akan cuba mengatasi masalah itu. Mereka sepatunya didenda. Tetapi kami memahami masalah yang dihadapi dan telah memberikan sedikit masa untuk mengatasinya," katanya.

"Kejayaan myBAS di Kangar dan Seremban membuktikan inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada pengguna dan juga diterima baik oleh rakyat," katanya.

Syed Hamid berkata, demi memastikan keselamatan penumpang SPAD meletakkan syarat supaya usia setiap myBAS tidak boleh melebihi tujuh tahun. Bagaimanapun bas-bas yang digunakan TCBS berusia dua tahun sahaja.

Katanya lagi, tumpuan SPAD sekarang ialah untuk memastikan sistem kad prabayar digunakan sepenuhnya oleh semua pengendali bas supaya perjalanan lebih bersepadu. - 18/2/2016.






Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap