Pengoperasian Semula Perkhidmatan KTMB Gemas-Gua Musang dan Kemubu–Krai dan Pembukaan Penuh Ipoh–Padang Besar dan Seremban–Gemas

Pengoperasian Semula Perkhidmatan KTMB Gemas-Gua Musang dan Kemubu–Krai dan Pembukaan Penuh Ipoh–Padang Besar dan Seremban–Gemas 




26 Jun, 2015 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil maklum kenyataan media daripada KTMB baru-baru ini mengenai pengoperasian semula perkhidmatan keretapi antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Krai serta pembukaan landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas. 

   Walaupun cadangan KTMB untuk memulakan perkhidmatan tersebut menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dialu-alukan oleh SPAD, namun faktor keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan. Perkhidmatan KTMB Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Krai KTMB telah membentangkan kepada SPAD pada 25 Mei 2015 mengenai cadangan kerja baikpulih landasan di antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Krai untuk mengembalikan keadaan landasan kepada tahap yang selamat bagi penggunaan dan operasi keretapi 

   Sejurus itu KTMB merancang untuk memulakan operasi secara separa bagi laluan yang kritikal di jajaran Pantai Timur sebelum kerja-kerja keseluruhan pembaharuan landasan siap, dengan jaminan bahawa langkah-langkah kawalan yang ketat akan diutamakan. 

   Ini merangkumi kerja-kerja seperti pelebaran semula longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dan klip landasan yang baru. Manakala kerja-kerja pembaikan secara keseluruhannya di sepanjang koridor yang terjejas teruk akibat banjir akan dijalankan oleh kontraktor yang dilantik Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2017. 

   Bagi memastikan langkah-langkah kawalan serta persediaan untuk operasi secara separa dibuat dengan rapi, KTMB perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan SPAD sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Dengan itu KTMB telah diarahkan oleh SPAD untuk mengemukakan semula permohonan tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk pembukaan semula. 

   Untuk pembukaan semula landasan Pantai Timur, SPAD sedang bekerjasama dengan KTMB bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang terjamin. Di masa yang sama keputusan pembukaan mestilah telus supaya penumpang dapat menggunakan perkhidmatan keretapi dengan penuh yakin.  

   Memandangkan jajaran di Pantai Timur telah teruk dilanda banjir pada akhir tahun lepas, keadaan landasan, cerun dan stesen terlibat adalah tidak selamat digunakan. Lebih-lebih lagi dimana selipar kayu digunakan. SPAD telah menjalankan pemeriksaan landasan bagi mengenalpasti tahap keselamatan jajaran Pantai Timur. 

   Antara isu-isu yang dititikberatkan oleh SPAD adalah faktor keselamatan landasan, semboyan, stok kereta, kemudahan-kemudahan di stesen dan keselesaan. SPAD ingin menegaskan di sini bahawa pembukaan jajaran Pantai Timur akan diputuskan setelah dokumentasi serta pengesahan perunding bebas dikemukakan dan diterima oleh SPAD. 

   Laporan tersebut hanya boleh dikemukakan kepada SPAD selepas kerja-kerja pemulihan selesai. Buat masa ini KTMB masih belum mengesahkan bahawa kerja-kerja pemulihan telah selesai. Pengesahan tersebut adalah kritikal kerana ia akan mengesahkan yang jajaran adalah selamat untuk operasi. Perkhidmatan Ipoh-Padang Besar dan Seremban Gemas 

   SPAD juga mengambil maklum bahawa KTMB juga telah mengemukakan cadangan pengoperasian sektor Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas yang telah siap. SPAD sedang bekerjasama dengan KTMB di dalam memastikan tahap keselamatan dan keselesaan terjamin secara telus bagi memberikan keyakinan kepada penumpang. 

   Sejurus itu, SPAD telah memeriksa landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas bagi mengenalpasti tahap keselamatan dan keselesaan bagi jajaran-jajaran tersebut; ini termasuk aspek keadaan landasan, semboyan, stok kereta, kemudahan-kemudahan di stesen. 

   Setakat hari ini, KTMB telah mengemukakan dokumentasi bagi pembukaan penuh sektor Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada SPAD pada 22 Jun 2015. Walaupun sektor Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas telah siap untuk pembukaan penuh, berdasarkan pemantauan SPAD, set keretapi baru masih belum memenuhi syaratsyarat yang telah ditentukan. 

   SPAD dengan itu mengesyorkan kepada KTMB supaya menggunakan keretapi ETS yang sedia ada bagi operasi tersebut. 

   Keputusan muktamad akan ditentukan SPAD Oleh itu, keputusan muktamad bagi pembukaan landasan dan perkhidmatan keretapi di sektor-sektor tersebut akan ditentukan oleh SPAD setelah KTMB memenuhi kesemua keperluan mandatori yang merangkumi syarat operasi dan keselamatan. Sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAD, KTMB akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap aspek-aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap