ETS KL-Padang Besar Belum Boleh Beroperasi - SPAD





Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Padang Besar masih dalam proses pemeriksaan tren dan landasan dan belum boleh beroperasi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata ETS hanya boleh beroperasi selepas mendapat kelulusan SPAD.

"Kita telah memberitahu mereka (penangguhan operasi). Tapi kalau mereka (KTMB) langgar undang-undang, kita terpaksa ambil tindakan. Kita perlu periksa beberapa landasan dan tren mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mobile Operation Vehicles (MoVs) milik SPAD di Kuala Lumpur, Selasa,30 Jun 2015

Beliau berkata SPAD hanya akan memberi kelulusan untuk KTMB menjalankan operasi selepas menentukan bahawa keselamatan awam adalah terjamin ketika menggunakan perkhidmatan awam itu.

Pada Khamis lepas, KTMB mengumumkan perkhidmatan ETS sejauh 329 kilometer itu akan mula beroperasi esok dan boleh digunakan orang ramai yang ingin pulang ke utara bagi menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata SPAD dijangka mengeluarkan sebanyak 400 Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri ini.

"Pada tahun lepas kita mengeluarkan lebih 300 LPS dan kita jangka tahun ini kita akan keluarkan lebih atau sama bilangan dengan jumlah LPS yang dikeluarkan tahun lepas," katanya.

Berkenaan tambang bas, beliau berkata sebarang kenaikan tambang perkhidmatan awam mesti diluluskan di peringkat Kabinet terlebih dahulu.

Terdahulu ketika melancarkan dua unit MoVs itu, Syed Hamid berkata kenderaan itu akan berfungsi sebagai pusat operasi bergerak SPAD yang mampu menjalankan siasatan secara terus kerana ia dilengkapi dengan kemudahan pejabat termasuk perakam video, kamera litar tertutup (CCTV), kamera penglihatan malam dan kemudahan Internet.

"MoVs akan digunakan untuk kita mengeluarkan notis terhadap kenderaan awam yang melakukan kesalahan di atas jalan secara terus tanpa perlu merujuk kepada ibu pejabat SPAD terlebih dahulu dan kedua-dua unit ini akan beroperasi di sekitar Lembah Klang," katanya.- 30/6/2015

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD