SPAD komited atasi masalah parkir lori, bas - Nancy


  Setiap permohonan bagi mendapatkan permit kenderaan barangan perlu disertakan cadangan kawasan parkir untuk mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata syarat itu bagi mengelak kenderaan barangan iaitu lori dan bas diletak di tempat yang tidak sepatutnya, khususnya kawasan perumahan.

  Beliau berkata di pihak SPAD, suruhanjaya itu sentiasa berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan kawasan parkir atau terminal sementara bagi kenderaan terbabit.

"Kawasan parkir ini tertakluk kepada tanggungjawab PBT. Sebab itu SPAD bincang dengan mereka untuk minta kawasan yang sesuai. Kita sedar agak sukar bila melibatkan kawasan perumahan sebab ada penduduk yang tidak akan setuju.

  "Di sinilah penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan efektif," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

  Nancy berkata di bawah Unit Penggantungan dan Penarikan Lesen SPAD yang ditubuhkan awal tahun ini, syarikat pengendali atau individu yang berulang kali melanggar syarat berdepan tindakan, termasuk penarikan semula lesen.

  Terdahulu, pada sesi perbahasan, Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) membangkitkan masalah lori dan bas yang sering diparkir di kawasan perumahan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk.- 10/11/2014

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap