SPAD kemuka cadangan naik tambang pengangkutan awam

Gambar Arkib
Selepas desakan berbagai persatuan yang jaga kepentingan pengangkutan awam, pada Ahad Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan pihaknya sudah kemuka cadangan kenaikan tambang kepada kerajaan.
Menurutnya cadangan tersebut dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula kadar tambang untuk pengangkutan awam darat.
Jelas Syed Hamid kenaikan tambang adalah wajar.
"Kita faham masalah yang dihadapi syarikat pengangkutan awam dan bersetuju terdapat keperluan untuk menaikkan kadar tambang termasuk untuk teksi.
"Kajian semula mengenai kadar tambang baharu itu berada di peringkat akhir. Saya harap syarikat pengangkutan awam termasuk teksi boleh bersabar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Pemandu Lori Berat Johor di Galeri Pameran Truck Nation Malaysia Sdn Bhd, di Johor Bahru Ahad.
Sebelum ini lebih 200 pemandu teksi ulang alik JB-Singapura mendakwa mereka akan berdepan kerugian jika tidak ada sebanrang kenaikan tambang selepas kenaikan bahan bakar, dan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Syed Hamid berkata Kementerian Pengangkutan akan memutuskan mengenai cadangan tersebut.
Sementara itu, SPAD tidak akan menyokong permohonan mana-mana pengusaha atau persatuan pengangkutan awam darat untuk mengambil pekerja asing untuk menampung kekurangan pekerja.
Kata Syed Hamid, mereka sebaliknya perlu mencari inisiatif ataupun formula lain untuk menangani isu tersebut.
“SPAD tidak akan menyokong permohonan ini. Pengusaha atau persatuan perlu mencari inisiatif atau formula untuk menarik pekerja khasnya golongan muda untuk bekerja di sektor ini,” katanya.
Secara peribadi Syed Hamid berkata, bilangan pekerja asing yang terlalu ramai boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara dan jumlah pekerja asing yang ada kini, sudahpun mencecah tiga juta.--2/11/2014

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap