SPAD tambah dua laluan Bas Go-KL mulai 1 Mei

Mulai 1 Mei, warga Kuala Lumpur terutama yang bercadang keluar bersiar-siar di sekitar Chow Kit dan Bukit Bintang boleh menggunakan perkhidmatan bas Go-KL.

Pada tarikh berkenaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan membuka dua laluan baru untuk perkhidmatan bas Go-KL di sekitar kawasan berkenaan.

Bagi perjalanan Laluan Biru, perkhidmatan bas Go-KL yang percuma, berhawa dingin dan dilengkapi wi-fi itu akan bermula dari Medan Mara ke Bukit Bintang sejauh 9.2 kilometer manakala Laluan Merah yang jaraknya 10.8 kilometer bermula dari KL Sentral ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid berkata, pada ketika ini hampir 20 ribu warga Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan Go-KL dalam sehari dan beliau yakin dengan pelancaran dua laluan baharu itu, ia akan meningkat sekali ganda kepada 40 ribu.

"SPAD telah menetapkan frekuensi perkhidmatan kedua-dua laluan itu setiap lima minit pada waktu puncak dan 10 minit pada waktu bukan puncak," kata Syed Hamid kepada pemberita yang mengikutinya menaiki bas Go-KL Laluan Merah, pada Isnin.



Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nur Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan, Azmi Abd Aziz dan pegawai-pegawai pengurusan kanan SPAD.

Syed Hamid berkata, SPAD yakin peningkatan perkhidmatan bas Go-KL dapat mempertingkatkan mobiliti orang awam yang memasuki kawasan Pusat Perniagaan (CBD) Kuala Lumpur melalui pengangkutan awam yang mudah diakses.

Di samping itu katanya SPAD berharap inisiatif itu dapat menggalakkan orangramai menggunakan pengangkutan awam dan pada masa mengurangkan penggunaan kereta persendirian dan kesesakan.

Syed Hamid turut mengumumkan syarikat Citiliner telah diberikan kontrak menguruskan kedua-dua laluan berkenaan, berasaskan kepada tender terbuka.

"Saya yakin kedua-dua laluan ini akan menjadi lebih popular daripada laluan-laluan sebelum ini," katanya.

Pada 31 Ogos 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah melancarkan dua laluan pertama perkhidmatan bas Go-KL, iaitu Laluan Hijau dan Laluan Ungu.

Laluan Hijau bermula di KLCC dan berakhir di Bukit Bintang, sementara Laluan Ungu dari Pasar Seni ke Bukit Bintang.

"Sebanyak 14 bas disediakan untuk Laluan Biru dan 11 untuk Laluan Merah dan kalau ada permintaan untuk meningkatkan jumlah ini, SPAD sedia menimbangkan," kata Syed Hamid. - 28/4/14.









Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap