SPAD Mengambil Serius Kemalangan Bas Dua Tingkat di Bentong - Raub
13 April 2014 -
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan
terperinci ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan yang
telah meragut tiga nyawa di KM11, Jalan Bentong-Raub berdekatan kawasan
Bilut. Sebagai tindakan segera, SPAD akan meneliti secara terperinci
segala aspek pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan
syarikat tersebut.
SPAD juga akan berkerjasama dan sedia membantu semua agensi penguatkuasaan yang menjalankan siasatan mengenai kemalangan ini. Sehubungan
ini, pihak SPAD juga tidak akan berkompromi dan pasti mengambil
tindakan tegas ke atas pengendali sekiranya mereka melanggar syarat -
syarat yang termaktub dalam pekeliling serta Akta Pengangkutan Awam
Darat 2010.
Berikutan daripada
tragedi bas di Tanah Tinggi Genting pada tahun lepas, sebagai langkah
pencegahan SPAD telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pelaksanaan kod
amalan industri bagi keselamatan pengendali bas yang beroperasi di
kawasan tanah tinggi pada 20 Ogos 2013 dimana ianya memberi penekanan
serius kepada aspek keselamatan kenderaan yang beroperasi di tanah
tinggi. Selain itu, Pekeliling mengenai SPAD ICOP - Keselamatan juga
telah dikeluarkan pada 9 September 2013 yang mempertanggungjawabkan
pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan
penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.
Setakat ini,
sebanyak 2300 syarikat pengendali bas telah menghadiri latihan SPAD ICOP
– Keselamatan yang telah dijalankan sejak Disember 2012. SPAD ICOP –
Keselamatan mewajibkan semua pegawai keselamatan dan penyelia syarikat
untuk menghadiri latihan yang dijalankan oleh SPAD serta memantau
pemandu dan kenderaan sebelum setiap perjalanan dimulakan.
Sejak
pertegahan tahun 2013, pihak SPAD juga telah menjalankan pengauditan ke
atas 24 syarikat bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan jalanraya. Hasil
siasatan tersebut SPAD telah menggantung sebanyak enam (6)
lesen pengendali dan membatalkan dua (2) permit pengendali yang
didapati bersalah atas kesalahan-kesalahan tertentu dibawah SPAD ICOP -
Keselamatan dan APAD 2010.
SPAD juga ingin
menegaskan kepada semua pengendali bas ekspres untuk sentiasa memberi
penekanan yang serius dalam aspek pengurusan pemandu dan penyelengaraan
bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan untuk mengangkut penumpang
sentiasa selamat.
Comments
Post a Comment