SPAD sambut baik cadangan wujudkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara bagi menyiasat dan menangani kes-kes kemalangan ngeri seperti kemalangan di Genting Highland pada 21 Ogos 2013.  

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal Ismal menerusi kenyataan yang dihantar kepada media, pada Khamis, berkata, SPAD akan mengkaji kesemua 20 cadangan dan 51 pelan tindakan penambahbaikan manual prosedur kerja setelah laporan dikemukakan kepada Suruhanjaya.

Dalam kenyataan itu Mohd Nur Kamal menjelaskan bahawa Syarikat Genting telah memulakan operasinya setelah mendapat kelulusan lesen daripada agensi yang bertanggungjawab pada tahun 1984, iaitu sebelum SPAD ditubuhkan.  

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, SPAD telah mengkaji semula semua kaedah pemberian permit bagi kenderaan awam yang diamalkan sebelum penubuhan SPAD.

Selain itu, pemeriksaan berjadual bagi kenderaan awam dan perdagangan dilakukan oleh pihak Puspakom bagi menentukan "roadworthiness" manakala struktur reka bentuk setiap kenderaan awam (bas atau lori) termasuk bilangan penumpang bagi bas (duduk dan berdiri) ditentukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

Di samping itu, Jabatan Pengangkutan Jalan juga bertanggungjawab atas pengeluaran "Public Service Vehicle" (PSV) kepada pemandu pengangkutan awam.

Pihak SPAD hanya mengeluarkan lesen pengendali setelah meneliti beberapa perkara berkaitan dengan syarikat dan sekiranya ada keperluan serta permintaan dari rakyat.

Perkara-perkara ini dijelaskan bukannya bertujuan untuk menunding jari malah satu kaedah penyelarasan skop tugas dan tanggungjawab perlu dilakukan di bawah satu agensi dengan kadar segera bagi mewujudkan mekanisme kawalan yang lebih efisien.  

Bagi meningkatkan tahap kompetensi pemandu pula, SPAD sedang dalam proses untuk mengeluarkan kad pemandu dalam sistem maklumat pemandu SPAD bagi memantau sikap dan prestasi setiap pemandu pengangkutan awam.

Selain daripada itu, SPAD juga telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan SPAD ICOP Keselamatan yang telah berkuatkuasa pada 20 Ogos 2013 untuk semua pengendali bas. Ianya bertujuan untuk memberi garis panduan keselamatan yang praktikal bagi semua pengendali bas demi memastikan keselamatan operasi dan mengurangkan insiden kemalangan.

Penambahbaikan ‘Standard Operating Procedure' (SOP) ini telah dimaklumkan kepada Panel Penyiasat.

Hasil utama yang diharapkan melalui program latihan SPAD ICOP - Keselamatan adalah; menjadikan agenda keselamatan sebagai agenda utama bagi setiap pengendali pengangkutan awam darat; menerapkan nilai-nilai moral untuk membantu mengatasi masalah dan kelemahan amalan keselamatan bagi pengendali pengangkutan awam darat; dan menjadikan amalan keselamatan sebagai budaya dan norma industri pengangkutan awam.

Memandangkan lanskap pengurusan keselamatan jalanraya di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan, maka SPAD ingin sekali lagi mencadangkan supaya penstrukturan semula agensi-agensi ini dari aspek skop dan tanggungjawab diselaraskan bagi memastikan transformasi keselamatan industri ini dapat dijalankan. - 30/1/14.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap