Laporan Kemalangan di Genting - mengapa persalahkan SPAD?

Biasanya apabila berlaku kemalangan yang membabitkan bas, lori atau teksi, jika sesebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan, ia patut memfokuskan punca kemalangan berlaku. antara soalan utama yang perlu disiasat ialah apakah ia disebabkan kecuaian pemandu atau kerosakan pada kenderaan atau sebagainya? 

Lesen Pengendali Kenderaan Awam (PSV) dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sekiranya seseorang pemandu mempunyai rekod jenayah, sudah tentu JPJ yang mempunyai kerjasama pintar dengan Polis mempunyai akses kepada rekod itu. Sekiranya didapati pemandu itu ada rekod jenayah, sudah pasti dia tidak akan mendapat lesen PSV.

Maka apabila Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada Selasa menuding jari kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung tragedi kemalangan bas di Genting Highland tahun lalu, sudah tentu ia menimbulkan tandatanya.

Hishamuddin dilaporkan berkata jawatankuasa berkenaan menemui kelemahan SPAD meluluskan lesen pengendali sebagai salah satu punca kemalangan itu. 

Kita ambil contoh, sekiranya seseorang peguam melakukan kecuaian ketika melaksanakan tugasnya, adakah Majlis Peguam hendak dipersalahkan? Atau sekiranya seorang doktor melakukan kecuaian ketika merawat penyakit, adakah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) perlu dipersalahkan kerana memberikan doktor itu lesen?



Jadi analogi yang sama boleh digunakan dalam isu ini. Adakah adil kerana kecuaian pemandu, SPAD dipersalahkan? 

Maka apabila pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengatakan dia berasa hairan dengan kenyataan Hishamuddin, persoalannya itu mempunyai asas.

"Saya hairan mengapa nama SPAD sahaja disebut sedangkan saya dengar ada 20 syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penasihat Bebas  Kementerian Pengangkutan berhubung kemalangan itu. SPAD adalah agensi yang bertanggungjawab kepada perlesenan, bukan soal keselamatan," katanya.

"Saya hairan apa pasal nama SPAD sahaja disebut. Jadi saya nak tahulah. Kita nak dapatkan kenyataan dia (Hishamuddin). Untuk bagi komen sekarang tak adil sebab saya tak baca lagi laporan itu. Saya tengok di suratkhabar dan internet. Ia mungkin tak betul.

"Saya tak mahu komen sangat kerana benda itu (laporan) belum lagi dibentangkan di kabinet. Kita pun tak ada salinan. Kita tak tahu apa syor dan apa rasional. Saya pun tak mahu komen lebih kerana kalau kita komen berkenaan liabiliti atau apa-apa ia mungkin mempunyai implikasi undang-undang.

"Menteri boleh cakap apa sahaja dia nak cakap. Tetapi di bawah akta adalah sangat jelas bahawa SPAD adalah di bawah Perdana Menteri. Kalau Menteri ada cadangan, terpulang kepada dia untuk bentangkan kepada Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri membuat keputusan, kita akan laksanakan apa jua keputusan yang dia buat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan bas baharu Syarikat Kenderaan S & S Sdn Bhd di Kluang, Johor pada Rabu.

Syed Hamid berkata, sebaik tragedi Genting itu berlaku, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan SPAD dan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Tetapi belum sempat SPAD berbuat demikian, Pemangku Menteri Pengangkutan sudahpun mendahului mereka dan menubuhkan jawatankuasanya sendiri.

"Jadi kita tak jadi tubuhkan jawatankuasa itu. Takut nanti bertindih dan orang keliru pula," kata Syed Hamid.

Susulan kemalangan di Genting itu yang berlaku di Kilometer 3.5, Jalan Genting-Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu,  Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)  telahpun membuat siasatan dan mendapati kombinasi pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemalangan terbabit.

Malah Hishamuddin sendiri yang mengumumkan bahawa antara punca kemalangan adalah bas tersebut didapati dipandu laju melebihi had laju iaitu 50km/jam selain kekurangan kecekapan fungsi brek pada bas berkenaan.

Jadi mengapa sekarang jari dituding pada SPAD? - 29/1/14.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap