Muhyiddin Minta Pengusaha Bas Bincang Dengan SPAD Mengenai Tambang Bas

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berbincang terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum bertindak menaikkan tambang sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengusaha bas sekolah tidak seharusnya bertindak terburu-buru dengan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD kerana ia akan menyusahkan ibu bapa pelajar.

"Walaupun mereka mempunyai asas-asas dan sebab yang kukuh untuk menaikkan tambang bas atas pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak dan kos penyelenggaraan kenderaan tetapi mereka tetap perlu merujuk kepada SPAD terlebih dahulu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pengusaha bas sekolah di beberapa negeri yang telah menaikkan kadar tambang pada sesi persekolahan mulai bulan ini walaupun kadar baharu akan hanya ditetapkan oleh SPAD pada Mac nanti.

Sebelum itu, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Dewan Persidangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), bangunan Perdana Putra di sini.

Pada 31 Dis lepas, SPAD dalam satu kenyataan berkata pihaknya sehingga kini belum meluluskan sebarang surcaj dan tambang baharu bas sekolah.

SPAD berkata hasil perundingan yang dicapai dengan wakil Persatuan-Persatuan bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) dan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) keputusan telah dicapai bahawa tiada surcaj atau kenaikan tambang bas sekolah sehingga SPAD mengumumkan skim baharu bas sekolah pada Mac ini.

Bagaimanapun, menurut laporan akhbar baru-baru ini, pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Sarawak telah menaikkan tambang bas tanpa menunggu pengumuman SPAD.

Pengusaha bas telah bertindak menaikkan tambang antara RM5 hingga RM10 pada hari pertama persekolahan di empat negeri tersebut baru-baru ini.

Justeru itu, Muhyiddin berkata tindakan pengusaha bas menaikkan tambang dengan sewenang-wenangnya adalah satu tindakan berat sebelah kerana tidak berbincang dengan SPAD dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ditanya mengenai ugutan pengusaha bas sekolah untuk menghentikan perkhidmatan mereka sekiranya permintaan menaikkan tambang tidak dipenuhi, beliau berkata tindakan mereka hanya akan mendatangkan kerugian kepada semua pihak termasuk pengusaha bas itu sendiri.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengusaha bas dan SPAD mengadakan rundingan dalam masa terdekat ini dan berusaha mencapai hasil 'menang-menang' kepada semua pihak.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap