Bas sekolah boleh pasang iklan untuk tambah pendapatan.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang menimbang
kemungkinan membenarkan pengusaha bas sekolah memasang iklan dan
menggunakan kenderaan itu sebagai "feeder bas" untuk membolehkan
golongan itu menambah pendapatan.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid
Albar berkata, langkah itu adalah salah satu daripada cadangan SPAD
supaya pengusaha bas sekolah tidak mempunyai alasan lagi untuk
menaikkan tambang sewenang-wenangnya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Pematuhan SPAD ICOP -
Keselamatan untuk pengendali bas dan kenderaan barangan di Terminal
Bersepadu Selatan (TBS), pada Selasa. Turut serta ialah Ketua Pegawai
Eksekutif SPAD, Muhamd Nur Ismal Kamal.
Tan Sri Syed Hamid
berkata isu kenaikan tambang bas sekolah juga disebabkan daripada
kesanggupan ibu bapa membayar kerana mereka tidak mempunyai alternatif
lain untuk menghantar anak ke sekolah.
"Kadar kenaikan ini
tidak akan berlaku kalau tidak kerana ibu bapa yang sanggup membayar,
dan selama ini pun yang kedengaran hanya rungutan. Kita sudah beritahu
sekiranya dapat laporan kita akan menyiasat dan jika ada bukti kita
akan dakwa di mahkamah, Tetapi jika kita ambil tindakan seperti
batalkan lesen, bagaimana pelajar mahu ke sekolah? Kita tidak boleh
bertindak bertindak bersandar kepada rungutan. Tak ada sesiapa yang
mahu tampil ke depan, berikan bukti dan mahu ke mahkamah.
"Sekarang kita ada
formula baharu. Pengusaha mengadu tindakan menaikkan tambang disebabkan
tidak cukup pendapatan. Kita sedang mengkaji kemungkinan membenarkan
mereka untuk memasang iklan di bas. Kita juga sedang kaji kemungkinan
membenarkan bas sekolah itu digunakan sebagai "feeder bus" supaya
mereka dapat pendapatan tambahan dan tidak perlu naikkan tambang,"
katanya.
Mengenai Kempen
Kesedaran dan Pematuhan SPAD ICOP - Keselamatan untuk pengendali bas dan
kenderaan barangan, Syed Hamid berkata ia adalah langkah keselamatan
yang diambil oleh SPAD bagi memastikan keselamatan penumpang dan
pengguna jalan raya. SPAD telah menetapkan had laju kenderaan 90
km/sejam sebagai syarat lesen pengendali bas dan kenderaan barangan.
"SPAD ICOP ini amat penting sebab kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada pemandu yang memandu terlalu laju," katanya.
Syed
Hamid berkata had laju yang terkandung dalam SPAD ICOP untuk pengendali
bas berkuatkuasa pada 20 Ogos tahun lalu manakala untuk pengendali
kenderaan barangan, pada 11 November tahun yang sama. Menurutnya lagi
program latihan SPAD ICOP telah dijalankan sejak November 2012 dan
selesai pada Oktober 2013.
Menurut Syed Hamid di
bawah program SPAD-ICOP, pengendali yang tidak mematahui had laju akan
diberikan surat amaran jika melakukan kesalahan untuk kali pertama.
Jika mereka lakukan kali kedua, permit kenderaan akan digantung selama
sebulan. Jika pengendali melakukan kesalahan kali ketiga, permitnya
akan digantung tiga bulan dan untuk kesalahan keempat, permitnya akan
dibatalkan terus.
Sementara itu Nur
Ismal berkata di bawah program SPAD ICOP setiap pengendali kenderaan
mesti mempunyai pegawai keselamatan. Mereka juga mesti mengadakan
mesyuarat keselamatan setiap bulan. - 21/01/14
thanks ya infonya !!!
ReplyDeletewww.bisnistiket.co.id