Program Interaksi bersama pengguna (SPAD)

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjangkakan struktur kadar tambang baharu perkhidmatan teksi untuk seluruh Semenanjung akan diumumkan  pada suku pertama tahun depan.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, hasil penyelidikan dan kajian yang telah dan sedang dijalankan dengan pihak-pihak berkepentingan menunjukkan kos mengendalikan teksi meningkat sejak semakan kadar tambang kali terakhir dibuat empat tahun lalu.

"Kali terakhir semakan dibuat ialah pada 2009. Maka langkah SPAD untuk mengemukakan struktur baharu tambang teksi untuk semua kelas adalah tepat pada masanya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Interaksi Bersama Pengguna dan Industri Teksi - Kajian Kadar Tambang Teksi di Kuala Lumpur, Jumaat

Menurut Syed Hamid, kajian yang sedang dilaksanakan oleh SPAD di seluruh negara dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

"Perbincangan dan kajian dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti pengusaha dan pemandu teksi, aktivis dan sebagainya dijangka mengambil masa kira-kira 10 minggu.

"Kita berharap dapat memperhalusi kajian itu menjelang akhir tahun ini sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan. Kita harap struktur tambang baharu dapat diketahui pada suku pertama tahun depan," tambahnya.

Menurut Syed Hamid, kertas cadangan kadar tambang baharu yang bakal dikemukakan kepada kerajaan mengambil kira enam perkara tumpuan kepada elemen kos, iaitu kenderaan, kelengkapan, bahan api, penyelenggaraan, overhead dan kos buruh.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal yang turut hadir pada sidang media berkenaan, pada sesi taklimat terdahulu, menjelaskan kos kenderaan merangkumi bayaran sewa harian, sementara kelengkapan  melliputi kos pembekal dan pemasangan sistem Gas Ali Mampat (CNG), meter teksi da terminal kad kredit (untuk Teks1M sahaja).

Manakala kos bahan api mengambil kira kos penggunaan petrol berdasarkan profil operasi teksi yang berlainan perkhidmatan. Kos penyelenggaraan pula termasuk alat ganti, penggantian pemeluwap pendingin hawa dan motor, tayar, bateri dan lain-lain.

Katanya kos overhead pula membabitkan polisi insuran, cukai jalan, yuran perkhidmatan PUSPAKOM dan yuran lesen sementara Kos Buruh meliputi gaji pemandu teksi yang mengendali kenderaan.

Syed Hamid berkata kira-kira 13,000 teksi bandar sedia ada iaitu Bajet, Eksekutif, Premier akan melalui pelan migrasi menjadi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) menerusi inisiatif penambahbaikan teksi 2013-2015 di bawah Pelan Transformasi Industri Teksi.

Katanya SPAD menjangkakan sebanyak 7,500 TEKS1M yang menggunakan Proton Exora akan beroperasi sepenuhnya di bandar-bandar utama menjelang 2015.

Menurutnya pada ketika ini terdapat 60,156 pemandu teksi berdaftar di negara ini dan daripada jumlah itu 65 peratus adalah pemandu teksi bajet, 26% kereta sewa, lima eksekutif dan empat teksi lapangan terbang. - 18/10/13.

















Comments

  1. Kalau boleh jadikan 1model kereta khas untuk teksi, satu jenis pengangkutan sahaja, tidak ada bajet , Eksekutif, Premier, hanya 1.hentikan juga monopoli seperti di klcc.tq

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap