Operasi Hippo - SPAD tahan 22 pemandu lori

Seramai 22 pemandu lori ditahan dalam "Operasi Hippo" yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dari enam pagi hingga 12 tengahari di sekitar Puchong pada Rabu.

Daripada jumlah itu, 17 didapati melakukan kesalahan membawa muatan melebih had dibenarkan, manakala lima lagi meninggalkan lori ketika operasi dilakukan.

Operasi berkenaan diketuai oleh Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Maj Jen (B) Dato Che Hasni Che Ahmad.

Hasni yang ditemui pemberita selepas operasi, berkata Operasi Hippo bertujuan membanteras kegiatan lori lebih muatan dengan tumpuan diberikan di kawasan Puchong dan sekitarnya. 

"Operasi ini dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia. Ia melibatkan 98 anggota. PDRM diwakili lima pegawai dan 30 anggota manakala SPAD tujuh pegawai dan 56 anggota.

"Daripada 17 kes itu kita kenalpasti, muatan paling berat dibawa oleh sebuah lori adalah 170 peratus melebihi daripada apa yang dibenarkan. Manakala kesalahan lebih muatan paling ringan adalah 34 peratus melebihi had muatan dibenarkan," katanya.

Che Hasni berkata, lori yang membawa muatan melebih had yang dibenarkan boleh mengakibatkan kemalangan serta kerosakan jalan.

"Kami dapati banyak jalan di sekitar kawasan Puchong yang rosak kerana tindakan pengusaha lori yang tidak bertanggungjawab membawa lebih muatan. Kita akan membawa kes-kes ini kepada Timbalan Pendakwaraya dan mendakwa di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun ataupun kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut Che Hasni kebanyakan lori yang ditahan membawa pasir dan batu. Mereka datang dari kawasan-kawasan lombong sekitar Puchong. Katanya, SPAD turut menjalankan pemeriksaan ciri keselamatan ke atas setiap lori yang ditahan.

Daripada pemeriksaan itu pegawai-pegawai penguatkuasa SPAD mendapati banyak lori yang menggunakan tayar yang sudah botak dan mereka. Ada juga yang menyimpan tayar simpanan yang sudah tidak boleh digunakan kerana sudah pecah atau terkeluar besi.

Ditanya samada SPAD akan mengenakan peraturan SHE-COP (Safety, Health, Environment Code of Conduct) ke atas pengusaha lori seperti yang dikenakan ke atas pengusaha bas sebelum ini, Che Hasni berkata, perkara itu memang dalam perancangan SPAD.

"Kita akan mengenakan syarat berkenaan kepada kepada semua jenis pengangkutan awam darat. Pada ketika ini kita mengenakan syarat itu ke atas bas ekspres. Selepas ini kita akan buat untuk lori dan teksi," katanya.

Menurut Che Hasni lagi, SPAD akan memantau pengurusan syarikat-syarikat lori sama ada pemandu mempunyai rehat yang cukup atau tidak, dan adakah kenderaan-kenderaan yang digunakan sentiasa berada di atas jalanraya.

"Apabila berlaku sesuatu kemalangan, kita akan pergi audit. Kalau polis mengatakan kemalangan itu  ada elemen kecuaian, kita akan pergi tengok. Sebenarnya kita sudah mula buat pemeriksaan audit ini pada 2012 tetapi sebagai pendedahan sahaja. 

"Pada 2012/2013 kita telah mengaudit sebanyak 213 syarikat bas yang beroperasi di Semenanjung. Ada yang tahap kepatuhan SHE-COP cuma antara 40-50 peratus sahaja. Insyallah kita akan berhubung dengan pengusaha-pengusaha supaya mereka tahu tanggungjawab masing-masing. Kita akan lebih agresif tahun hadapan."

Menurut Che Hasni, sejak 2011 hingga setakat ini, SPAD sudah menangkap tidak kurang daripada 1,800 lori kerana lebih melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan. - 9/10/13.
 






 

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap