TEKS1M sudah mula beroperasi!

Setelah menanti hampir setengah tahun sejak pengumuman mengenainya dibuat, akhirnya perkhidmatan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang menggunakan model Proton Exora dilancarkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Majlis pelancaran yang diadakan secara sederhana tetapi signifikan itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal.

Pada pelancaran itu, 50 unit TEKS1M Proton Exora dilepaskan untuk memulakan operasi di Lembah Klang. Menjelang hujung tahun ini, 1,000 unit akan beroperasi bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang

Menurut Mohd Nur, TEKS1M adalah kelas perkhidmatan baru yang diperkenalkan oleh SPAD dalam melaksanakan agenda transformasi industri teksi di negara ini. Walaupun lebih cantik dan canggih serba-serbi, TEKS1M masih mengenakan tambang teksi bajet.

"Kita mensasarkan sejumlah 7,500 teksi bajet, eksekutif dan premier akan dimigrasi kepada TEKS1M pada tahun 2015," kata Mohd. Nur Ismail pada sidang media selepas pelancaran.

Mohd Nur berkata dalam usaha SPAD untuk  mentransformasi industri teksi negara, ia akan menggubal dasar migrasi teksi berdasarkan keadaan sedia ada bagi membolehkan teksi-teksi bandar menukar teksi mereka kepada TEKS1M secara berperingkat.

Katanya pemegang-pemegang lesen sedia ada tidak perlu tergesa-gesa menukar teksi mereka sekiranya usia teksi masing-masing masih baharu. Hanya teksi yang tamat tempoh usia kenderaan perlu berbuat demikian.

Menurutnya SPAD perlu menggubal dasar migrasi ke satu kelas teksi sahaja, iaitu TEKS1M kerana buat masa ini terdapat tiga kelas teksi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, iaitu bajet, eksekutif dan premier.

"SPAD melihat keperluan menyatukan ketiga-tiga kelas ini bagi mengurangkan jurang kualiti perkhidmatan, sekaligus mewujudkan satu kelas perkhidmatan teksi sahaja di kawasan bandar, iaitu TEKS1M," katanya

Antara ciri-ciri menarik TEKS1M ialah transmisi kenderaan disediakan dalam bentuk manual dan automatik, dua model bahan api disediakan, iaitu petrol dan NGV, ruang bagasi yang luas dan GPS.

Selain itu TEKS1M dilengkapi dengan sistem meter tambang sama ada menggunakan tunai atau kad kredit/debit, penyaman udara di bahagian penumpang, kerusi kulit dan ABS.

Pada ketika ini terdapat 39,056 teksi bajet di negara ini dan daripada jumlah itu 48 peratus (18,759) adalah milik individu. Selebihnya, iaitu 52 peratus (20,297) dimiliki oleh syarikat.

Jumlah teksi eksekutif ialah  2,884  di mana 33 peratus (957) adalah milik individu dan 67 peratus (1927) milik syarikat.  Berbeza dengan teksi bandar yang hanya boleh beroperasi di pusat bandar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, teksi eksekutif dibenarkan membawa penumpang ke mana-mana sahaja di Malaysia.

Sementara itu kesemua 170 teksi premier yang terdapat di negara ini adalah milik syarikat sepenuhnya. Jumlah teksi lapangan terbang pula ialah 2,226. Daripada jumlah ini individu hanya memiliki 20 peratus (435) manakala 80 peratus (1781) dimiliki syarikat.

Terdapat sebanyak 16,012 kereta sewa di seluruh Malaysia yang mana daripada jumlah itu 87 peratus (13,923) milik individu dan 12 peratus (2089) milik syarikat. - 11/10/13.
 
























 

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap