Tragedi Genting - jawatankuasa inkuiri sudah mula bincang

Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas – Genting sudah menubuhkan sekretariat untuk mengumpul dan meneliti semua laporan yang diterima daripada agensi-agensi terbabit bagi memudahkannya menyusun atur corak penyiasatan yang akan dibuat selepas ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Nur Kamal yang mengetuai jawatankuasa berkenaan, berkata, pihaknya masih dalam proses meneliti beberapa laporan, terutamanya dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Kita sudah memulakan perbincangan minggu lalu. Pada ketika ini kita masih meneliti beberapa laporan, terutama dari MIROS kerana ia akan menjadi asas kepada langkah yang perlu dibuat seterusnya, iaitu bagaimana kita dapat mengadakan penyiasatan dengan berkesan. Apabila kita memangil operator bas berkenaan, kita tahu soalan apa yang harus ditanya dan perlu diberi penekanan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Sabtu.

Sidang media itu diadakan selepas program Mencari Harta Karun yang membabitkan seramai 130 kakitangan SPAD dari ibupejabat.

Mohamad Nur berkata dia tidak pasti bila jawatankuasa berkenaan akan memulakan inkuiri kerana masih dalam proses meneliti laporan.

SPAD menubuhkan jawatankuasa berkenaan pada 23 September lalu berikutan tragedi kemalangan bas di Jalan Genting Highlands yang mengorbankan 37 orang.

Ditanya sama ada SPAD akan menggantung perkhidmatan syarikat bas berkenaan sementara menunggu penyiasatan, Mohamad Nur berkata, pihaknya perlu mengambilkira pihak yang terbabit.

“Kita perlu mengambil kira perkhidmatan dan orang yang terbabit kerana ia adalah satu-satunya syarikat yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan. Pekerja di Genting Highlands tetapi menetap di Kuala Lumpur akan terjejas jika kita bertindak demikian,” katanya.
Mohamad Nur berkata SPAD sedang mengambil langkah bukan sahaja terhadap pengusaha bas berkenaan, tetapi juga terhadap semua pengusaha bas yang menjalankan operasi di kawasan tanah tinggi dan berbukit.

“Antara langkah yang kami kenakan ialah, penumpang tidak dibenarkan berdiri dan menetapkan supaya pengusaha dan pemandu menjalankan pemeriksaan setiap hari, iaitu sebelum naik dan sebelum turun bukit. Mereka juga mesti menyimpan buku log. Syarat ini merangkumi semua kawasan tanah tinggi dan bukit, termasuk Cameron Highlands dan Bukit Fraser.”

Mohamad Nur menolak kemungkinan SPAD akan mewajibkan penumpang bas memakai tali pinggang keledar pada masa hadapan.

“Masalahnya ialah keadaan badan dan lantai bas itu. Sekiranya semua syarikat bas mematuhi peraturan RSS, maka kita boleh mengenakan syarat itu kerana badan dan lantai bas itu selamat. Sekiranya bas itu tidak mengikut peraturan RSS, mewajibkan penumpang memakai tali pinggang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Mohamad Nur berkata SPAD sebelum ini sudahpun mengetatkan syarat kepada pengusaha bas, antaranya mewajibkan ciri keselamatan I-COP sebagai syarat perlesenan.

“Mereka mesti mengamalkan ciri keselamatan I-COP dan kita akan sentiasa memantau untuk memastikan syarat ini dipatuhi. Kita telah memberi latihan I-COP kepada lebih 1,000 pengusaha bas setakat ini. Kita akan mengadakan lagi latihan berkenaan kepada pengusaha lain yang belum lagi mengikutinya.

“Kita sudahpun menguatkuasakan peraturan kepada semua bas ekspres can catar untuk memantau pemandu mereka supaya tidak melanggar had laju. Kita akan sentiasa memantau pengusaha, samada mereka melakukannya atau tidak. Contohnya, syarat setiap bas mempunyai GPS sudah berkuatkuasa sejak 2010 tetapi tidak seorang pengusaha pun mematuhinya.

“Jika pengusaha tidak memantau GPS, apa guna mereka memasangnya? Mereka mesti melakukan pemantauan itu secara “real-time”. Adalah menjadi tanggungjawab pengusaha untuk bertindak ke atas pemandu mereka yang memandu laju. Mereka tidak boleh mengatakan “itu bukan salah saya.”

“Pemasangan CCTV juga adalah untuk keselamatan penumpang. Ia bukan satu pilihan, tetapi kemestian. Kita sudah memberikan hak untuk pengusaha untuk beroperasi dengan syarat mereka mematuhi peraturan. Jika mereka tak mahu berbuat demikian, silalah buat perniagan lain.”

Mengenai Sistem Maklumat Pemandu, Mohamad Nur berkata SPAD sedang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyediakan pengkalan data rekod pemandu.

Katanya SPAD juga bercadang memasukkan sistem itu di dalam aplikasi My SPAD, di mana pengguna boleh memeriksa latar belakang syarikat pengangkutan dan pemandu menerusi telefon mudah alih. Katanya, penggunaan sistem itu akan dimulakan dengan teksi pada suku pertama tahun hadapan kerana SPAD sudah mempunyai pengkalan data. – 5/10/13.







Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap