SPAD batal buat laporan polis terhadap blogger

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis terhadap beberapa blog yang telah menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap unit penguatkuasaannya baru-baru ini.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan dan Latihan SPAD, Mejar Jen (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad (gambar) berkata, setelah berita mengenai hasratnya untuk membuat laporan polis terhadap mereka tersiar di akhbar, blogger-blogger berkenaan telah menarik balik artikel-artikel berunsur fitnah itu.

“Kami berpendapat mereka telah membuat satu tindakan yang rasional, jadi biarlah ia ditamatkan setakat itu. Jadi kami telah membatalkan hasrat membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan operasi di sekitar kawasan Bukit Bintang pada Selasa malam.

Bulan lalu, beberapa blog telah menyiarkan laporan berunsur fitnah kononnya seorang pegawai penguatkuasa SPAD telah ditampar oleh pemandu lori ketika melakukan operasi secara solo di Kuantan.

Namun setelah disiasat, SPAD mendapati kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dan cerita iatu adalah rekaan semata-mata. Sehubungan itu SPAD mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Che Hasni berkata sekiranya kejadian yang sama berulang, SPAD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

“Kita sentiasa membuat operasi secara bersepadu dan tidak seorangpun anggota yang tidak memakai uniform ketiga bertugas. Jika tidak memakai uniform, mereka akan memakai vest.

“Saya berharap lain kali mereka lebih bertanggungjawab. Janganlah buat tohmahan terhadap agensi-agensi penguatkuasa yang menjalankan tugas untuk negara.

“Kalau kita buat sesuatu yang tak betul, beritahu kita. Tetapi jangan buat tohmahan tanpa usul siasat. Jika mereka fikir tindakan ini akan menjatuhkan moral anggota penguatkuasa SPAD, maka mereka silap. Malah anggota-anggota unit penguatkuasaan SPAD kini lebih bersemangat untuk kerja kuat,” katanya.

Dalam operasi yang dijalankan sekitar kawasan Bukit Bintang antara jam enam petang sehingga sembilan malam, seramai 17 pemandu teksi ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, 13 daripada mereka ditahan kerana tidak menggunakan meter, dua tidak mempunyai kad pemandu, seorang kad pemandunya tamat tempoh dan seorang lagi kerana menetapkan harga tambang.

Pemandu yang menetapkan harga tambang itu telah mengenakan bayaran RM15 terhadap pegawai SPAD yang menyamar padahal harga perjalanan cuma RM4.50, iaitu empat kali ganda.

Menurut Che Hasni SPAD menjalankan operasi itu secara bersepadu dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar KLCC, Bukit Bintang dan Pavillion

“Inilah kawasan yang kami kerap terima aduan sama ada daripada pelancong asing mahupun tempatan.

Che Hasni berkata seramai 80 orang  terdiri daripada 13 pegawai dan 67 anggota penguatkuasa pelbagai agensi terbabit dalam operasi berkenaan. Katanya PDRM diwakili dua pegawai dan lapan anggota, manakala JPJ dua pegawai emapt anggota, DBKL dua pegawai 15 anggota dan SPAD tujuh pegawai 40 anggota.

Menurut Che Hasni konsep operasi dijalankan cara penyamaran di mana SPAD telah menggerakkan 23 pasukan. Pemandu yang didapati melakukan kesalahan telah dibawa ke Balai Polis Jalan Bandar.

Dalam operasi itu juga SPAD telah menyampaikan penghargaan dalam bentuk hadiah kepada enam pemandu teksi yang menggunakan meter.

“Mereka yang tidak menggunakan meter akan dicaj di bawah seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat. Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi yang menetapkan harga tambang, di bawah seksyen 75 akta yang sama, jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Che Hasni. – 3/7/2013 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL


Comments

Popular posts from this blog

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020