Awas! SPAD akan sentiasa perhatikan bas/teksi/lori sepanjang musim perayaan.


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan bekerja 24 jam sepanjang musim Raya untuk memantau kegiatan pemandu teksi, bas dan lori yang menyalahi undang-undang serta mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Maj Jen (B) Dato Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya akan mengerahkan semua 300 anggota unit penguatkuasanya di seluruh negara untuk membanteras kegiatan seperti ulat tiket, mengenakan tambang bas berlebihan, menjalankan perkhidmatan bas/teksi/lori secara haram (tanpa permit) dan lain-lain kesalahan.

Katanya, unit penguatkuasaan SPAD akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri untuk melakukan operasi bersepadu.

Che Hasni berkata demikian selepas melancarkan kempen kesedaran “Jangan Biarkan Nila Setitik Merosakkan Susu Sebelanga” di sebuah kompleks membeli belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Che Hasni, operasi akan ditumpukan pada tempoh dua minggu sebelum dan sesudah Hari Raya.

Che Hasni mengingatkan, mereka yang didapati melakukan menjalankan kegiatan ulat tiket, akan didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 201 dan jika disabitkan kesalahan, akan dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.

Katanya, bagi kesalahan mengenakan tambang berlebihan pula, mengikut Seksyen 75 (4) APAD 2010, apabila disabitkan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pemandu yang didapati melakukan kesalahan menjalankan kegitan bas sekolah haram atau Kereta/Van Sapu jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. Manakala syarikat pemilik kenderaan itu pula boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 100,000.00. 

Bagi Kesalahan Lori Lebih Muatan, mengikut Seksyen 57 APAD 2010, apabila disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1000 dan tidak lebih daripada RM 500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi Dua (2) Tahun atau kedua-duanya.

Che Hasni berkata, antara Januari hingga Jun tahun ini, SPAD telah melakukan 2,691 tangkapan yang membabitkan 1071 lori, 866  teksi, 673 bas, 48 prebet sapu dan 33 ulat. – 8/7/13.

Comments

Popular posts from this blog

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020