Pemandu teksi perlu "cantik" tingkahlaku - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, perkhidmatan teksi yang cemerlang bukan dinilai daripada rupa bentuk dan keadaan teksi yang cantik, tetapi juga sikap pemandunya.

Sehubungan itu beliau meminta setiap pemandu teksi di Malaysia menjaga tingkah-laku masing-masing bagi meningkatkan imej mereka di kalangan rakyat dan juga pelancong, tambahan lagi tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia.

“Perkhidmatan teksi yang baik dan cemerlang tidak hanya dengan bentuk  teksi yang cantik sahaja. Pemandu teksi pun mesti cantik juga. Kalau rupanya kurang cantik pun, biarlah perangai dan tingkah lakunya cantik.

“Bila bawa penumpang seharian, senyumlah. Jadilah pemandu teksi yang peramah dan bila sudah habis perjalanan dan dapat bayaran, ucap terima kasih kepada pelanggan. Inilah antara ramuan yang menjadikan kita seorang pemandu teksi yang cantik,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Janji Ditepati ke-2- Pemberian Lesen Teksi Individu di perkarangan ibupejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di Kuala Lumpur, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, Ketua Pegawai Eksekutif, MohdNur Ismal Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan, Azmi Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata SPAD akan memperkenalkan sistem perkhidmatan teksi setempat di mana ia akan membantu pemandu teksi meningkatkan pendapatan melalui kemudahan yang mengintegrasikan semua sistem tempahan yang sedia.

Di samping itu katanya, SPAD akan mewajibkan semua pemandu teksi menjalani program akreditasi untuk memastikan kualiti perkhidmatan teksi diberikan mengikut standard yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pemandu teksi, dan SPAD sedang menyemak kadar tambang teksi dengan mengambilkira peningkatan kos operasi. 

Pada majlis berkenaan Najib menyampaikan lesen teksi individu kepada 500 pemandu teksi. Mac lalu Najib telah menyerahkan 200 lesen yang pertama dan 300 lagi lesen diserahkan oleh SPAD pada bulan berikutnya.

Najib berkata, seramai 1,000 pemandu yang telah menerima lesen teksi individu mesti mematuhi syarat yang ditetapkan oleh SPAD, antaranya mereka diwajibkan membeli dan menggunapakai kereta Proton Exora sebgai Teksi 1Malaysia (TEKS1M).

Beliau berkata untuk meringankan bebanan, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) memberi geran RM5,000 kepada pemegang lesen individu terbabit untuk membeli kenderaan itu.

Selain itu, pembeli TEKS1M dikecualikan cukai jualan dan kastam, tidak perlu membayar wang pendahuluan, menikmati kadar pinjaman sebanyak dua peratus dari Bank Simpanan Nasional (BSN), pakej penyelenggaran di bawah harga pasaran dan skim insurans motor dan komprehensif untuk satu tahun pertama.

“Kita sedang bergerak kepada model baharu perkhidmatan teksi di Malaysia. Model lama ini tak boleh pakai lagi. Jadi apa yang kita lakukan, pemberian 1,000 lesen teksi individu ini adalah langkah ke arah melaksanakan model baharu perkhidmatan teksi untuk Malaysia.

“Mudah-mudahan ia dapat memberikan taraf baharu kepada kualiti hidup yang sangat bermakna kepada pemandu teksi. Harapan saya pemandu teksi tidak lagi hidup dalam kesempitan dan menghadapi tekanan hidup, menjadi pemajak teksi orang lain, tetapi menjadi seorang yang ada harga nilai diri sebagai pemandu teksi yang cemerlang,” katanya.

Menurut Najib, TEKS1M Proton Exora akan mula digunakan di sekitar Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Baharu  pada awal September tahun ini.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan kunci replika TEKS1M Proton Exora kepada lima pemandu teksi selain merasmikan ibu pejabat baharu SPAD di Bangunan Platinum Sentral, KL Sentral. – 19/7/13.
















Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD