SPAD Gesa Pengusaha Bas Ekspres Guna Sistem Jualan Tiket Secara Online

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa semua pengusaha bas ekspres menggunakan sistem penjualan tiket secara online bagi membanteras gejala ulat tiket, ketika musim perayaan.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata melalui cara itu, pengusaha bas ekspres bukan sahaja membantu pihak berkuasa mengatasi masalah tersebut malah dapat mengelak pengguna daripada menjadi mangsa sindiket terbabit.

"Saya tengok kebanyakan masalah timbul apabila syarikat bas ekspres tidak mempunyai kaunter jualan.

"Syarikat bas seperti inilah yang selalu pakai ulat. Jadi kita perlu mengenal pasti dan mengeluarkan mereka daripada sistem," katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan tiket bas ekspres menjelang Hari Raya Aidilfitri di Hentian Putra, di sini Jumaat.

Beliau juga berkata, isu ulat tiket dikesan semakin menjadi-jadi, apabila anggota penguat kuasa SPAD turut cuba diancam ketika sedang bertugas.

"Yang paling teruk dan paling kasar sekali ialah di Pudu Sentral, dia ada dia punya geng.

"Sekarang kita perlu tegas mengenai perkara ini dan mereka ini lebih maju dan mereka mempunyai 'tonto' bersama 'walkie talkie' dan orang kita pun banyak kali dah nak kena pukul," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid berkata orang ramai boleh mula membeli tiket bas ekspres sempena hari raya, dengan caj tambahan 10 peratus dikenakan.

"Tiket tersebut adalah untuk perjalanan bermula 8 Julai hingga 8 Sept 2013.

"Kenaikan tambang itu bertujuan menampung kos (pengusaha bas). Jadi, bila mereka balik (balik semula ke Kuala Lumpur) kosong, ia dapat menampung balik kos," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap