Bas sekolah dan kilang boleh diguna sebagai bas tambahan Raya



Pengusaha yang mahu memohon Lesen Perkhidmatan Sementara (LPS) untuk menyediakan bas-bas tambahan Hari Raya boleh menggunakan bas pelancongan, sekolah dan bas kilang. Bagaimanapun bas sekolah dan kilang yang digunakan sebagai bas tambahan, mestilah berusia 10 tahun ke bawah, berhawa dingin dan dalam keadaan baik.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata, bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat itu, SPAD akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjalankan pemantauan. Selain itu SPAD juga akan memohon kerjasama daripada PUSPAKOM untuk lebih teliti dan tegas ketika membuat penilaian ke atas kenderaan berkenaan.

"Bas yang mahu digunakan itu seharusnya dihantar menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM. Kita tak mahulah bas yang tempat duduknya tidak senonoh dan berlubang diluluskan oleh PUSPAKOM. SPAD mahu memastikan bas-bas tambahan yang digunakan itu memberikan kepuasan kepada penumpang," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Hentian Bas Putra di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Katanya walaupun pelawaan sudah dibuka, SPAD masih belum menerima permohonan untuk LPS. Menurutnya pada tahun lalu SPAD telah meluluskan lebih daripada 100 permohonan.

"Permohonan ini tak banyak prosedur dan karenah birokrasi tetapi saya tahu sangat sikap orang Malaysia yang suka buat kerja "last minute". Bagaimanapun apa yang penting pengusaha mesti memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Dalam lawatan itu Syed Hamid turut mengumumkan tempahan tiket bas ekspres untuk perjalanan 8 Julai hingga 8 September sempena musim perayaan Hari Raya sudah boleh dibuat mulai Jumaat. 

Minggu lalu SPAD telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengusaha bas dibenarkan mengenakan surcaj 10 peratus daripada harga lantai berdasarkan jenis bas. Surcaj itu yang diamalkan setiap kali musim perayaan Hari Raya sejak tiga tahun lalu, bertujuan menampung kos operasi dan penyelenggaraan pengusaha bas. Bezanya tahun lalu, tempoh surcaj dibenarkan 10 hari sebelum dan selepas Raya, berbanding tahun ini, iaitu sebulan sebelum dan sebulan selepas Raya.

Menurut Syed Hamid, tujuan utama lawatannya ke Hentian Putra ialah untuk melihat sendiri keadaan bas ekspres di situ berikutan mendapat panggilan daripada orang ramai yang mengadu terdapat bas yang kurang selesa. Katanya Hentian Putra dipilih kerana permintaan bas tambahan dan jualan tiket ke pantai timur pada tahun-tahun sebelum ini adalah yang paling tinggi dibandingkan di tempat lain.

Syed Hamid berkata hasil kerjasama daripada pengusaha-pengeusaha bas, sejak tiga tahun kebelakangan ini SPAD tidak mendengar aduan penumpang yang gagal mendapat tiket bas pulang. Sebaliknya aduan lebih banyak diterima mengenai kegiatan "ulat bas".

"Kalau kita imbas kembali, sejak tiga tahun kebelakangan ini kita sudah tak dengar cerita orang tak dapat bas. Jadi sekarang saya mahu tumpukan kepada "ulat bas" yang menjadi masalah besar. Di sini (Hentian Putra) saya tengok ia kurang kelihatan. Yang paling teruk dan kasa adalah di Pudu Sentral. Dia punya geng.

"Penguatkuasaan undang-undang tidak mencukupi. Pengusaha juga boleh membantu untuk mengatasi masalah "ulat". Salah satu cara terbaik ialah menggalakkan penggunaan sistem elektronik (e-ticketing), iaitu menggunakan online. Ramai pengusaha yang sudah memulakannya. Jadi adalah tidak mustahil satu hari nantu semua pengusaha akan menggunakannnya.
 
"Kita sudah lama mencadangkan supaya e-ticketing ini menjadi amalan lazim. Saya tengok kebanyakan masalah timbul bila ada syarikat bas yang tidak mempunyai kaunter. Mereka inilah yang selalu pakai "ulat". Kita perlu mengenalpasti syarikat-syarikat ini dan keluarkan mereka daripada sistem. Dengan cara ini kita dapat menghapuskan kegiatan ulat.

"Kita kena tegas. "Ulat" ini pun advance, siap ada walkie talkie dan tonto. Pegawai penguatkuasa SPAD sudah banyak kali hampir kena pukup. Saya sendiri pernah diekori oleh tonto. Tetapi dengan kolaborasi bersama agensi penguatkuasa seperti Polis, JPB dan DBKL, langkah-langkah penguatkuasaan kita semakin berkesan," katanya. - 28/6/13.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap