PMBOA akur tambang bas tak naik 30 peratus

Ashfar Ali
KUALA LUMPUR 20 Jun - Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) akur kepada ketetapan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menolak cadangan kenaikan 30 peratus tambang bas ekspres pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali berkata, berdasarkan perbincangan yang dilakukan dengan pihak SPAD, sebarang kenaikan bagi tambang bas ekspres memerlukan kajian terperinci dan mengambil tempoh beberapa bulan.
"SPAD telah menjelaskan bahawa satu kajian terperinci perlu dijalankan dahulu untuk dikemukakan kepada Kabinet," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan suruhanjaya itu menolak permintaan PMBOA untuk menaikkan tambang sebanyak 30 peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Bagaimanapun, SPAD bersetuju untuk membenarkan pengusaha bas mengenakan caj tambahan (surcaj) sebanyak 10 peratus berkuat kuasa 8 Julai hingga 8 September untuk semua bas ekspres dan tambahan.
Menurut Ashfar, beliau menyeru kepada semua penumpang dan pengusaha bas untuk menerima serta mematuhi surcaj 10 peratus yang dibenarkan oleh SPAD untuk tempoh tersebut.
"Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa boleh diambil terhadap mana-mana penumpang yang enggan membayar surcaj atau pengusaha bas yang mengenakan lebih daripada 10 peratus yang dibenarkan," katanya.
Sementara itu, Ashfar menjelaskan, tiada undang-undang yang menyatakan bahawa pengusaha bas mesti menjual tiket perkhidmatan mereka lebih awal.
"Ini merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh setiap pengusaha bas secara individu, berdasarkan kepada model perniagaan mereka.
"Oleh itu, untuk perjalanan semasa musim perayaan, pengusaha bas akan mula menjual tiket lebih awal berdasarkan model perniagaan mereka," katanya.
Katanya, pihaknya memberi jaminan pengusaha-pengusaha bas akan memastikan bas mencukupi untuk membolehkan semua orang pulang dengan selamat pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap