15 pemandu teksi dikesan lakukan kesalahan

KUALA LUMPUR 20 Jun - Tindakan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan mengenakan bayaran sehingga lima kali ganda akhirnya terbongkar dalam operasi bersepadu di ibu negara oleh beberapa agensi penguat kuasa malam tadi.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, selain pihaknya, operasi bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat banyak rungutan dan aduan daripada pelanggan berhubung pemandu teksi yang enggan menggunakan meter selain mengenakan tambang berganda.
Bagaimanapun, kegiatan mereka ini tumpas selepas sebanyak 15 pemandu teksi berusia 30 hingga 50 tahun di sekitar ibu negara ditahan atas kesalahan tidak menggunakan meter dan tiada permit.
"Kejayaan itu berhasil selepas semua anggota dipecahkan kepada 20 kumpulan untuk menyamar sebagai penumpang.
"Hasil pemeriksaan terhadap kesemua pemandu teksi berkenaan mendapati kenderaan tersebut adalah kereta yang dipajak dan mereka menjadi pemandu teksi sepenuh masa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Bandar malam tadi.
Tambah Che Hasni, salah seorang daripada mereka pernah ditahan beberapa bulan lalu atas kesalahan sama, namun masih tidak serik semata-mata mahu mendapat pulangan lumayan.
"Kesemua teksi yang digunakan itu disita untuk sementara waktu dan kita akan memanggil pemilik sebenar teksi berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya lagi.
Beliau berkata, terdapat salah seorang pemandu teksi yang enggan menggunakan meter sanggup mengenakan bayaran lima kali ganda terhadap penumpang yang perjalanannya hanya jarak dua kilometer semata-mata mahu mengaut keuntungan lumayan.
"Pemandu teksi berkenaan mengambil penumpang di pusat beli-belah Pavilion Bukit Bintang untuk dihantar ke Pasar Seni yang jarak perjalanan hanya mengambil masa enam minit dikenakan bayaran RM30 yang sepatutnya anggaran bayaran RM6 sekiranya menggunakan meter.
"Bagaimanapun pemandu teksi berusia 40-an itu mendakwa tidak boleh menggunakan meter berikutan kebarangkalian jalan sesak dan perjalanan pulang semula tidak mempunyai penumpang menyebabkan penumpang terpaksa dikenakan bayaran berkali ganda," jelasnya.
Che Hasni berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana tidak menggunakan meter yang boleh dikenakan kompaun atau denda sehingga RM500,000. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap