Pemandu, pengusaha teksi, bas, rel terima anugerah

Lima pemandu teksi diberi penghargaan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana kejujuran memulangkan barangan berharga yang ditinggalkan oleh penumpang mereka.

Ismail Md Rose, Chong Theam Kwai, Zamrod Adam, Megat Iskandar Megat Rusli dan Mohamad Harisham Jusoh masing-masing menerima sijil penghargaan pada majlis makan malam Simposium Industri Pengangkutan Awam Darat (LPT) di Kuala Lumpur, Ahad.

Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Azharuddin Mat Sah.

Ismail menerima penghargaan kerana kejujurannya memulangkan laptop dan beberapa barangan peribadi seorang penumpang yang menaiki teksinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Manakala Chong pula memulangkan tripod kamera milik pengurus pasukan futsal Thailand semasa Kejohanan Sukan SEA yang lalu.

Kisah Zamrol menjadi viral di media sosi apabila dia berusaha sendiri memulangkan dompet kepunyaan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Ong Bee Leng yang tercicir di dalam teksinya.

Megat Iskandar menemui sebuah i-phone kepunyaan seorang tetamu Ampang Residence yang tertinggal di dalam teksinya.

Mohamad Harisham juga menemui sebuah i-phone dan memulangkannya kepada seorang pelancong dari Arab Saudi.

Selain kelima-lima pemandu teksi itu, turut menerima anugerah ialah Konsortium E-Mutiara Berhad dan Tiara Pesona Sdn Bhd bagi kategori pengusaha bas ekspress terbaik.

Tiara Pesona turut memenangi kategori perkhidmatan bas ekspress terbaik.

Syarikat Pengangkutan Maju Berhad dari Johor juga memenangi dua anugerah, iaitu pengusaha bas henti-henti terbaik dan berkongsi anugerah kategori perkhidmatan bas henti-henti terbaik bersama syarikat Handal Indah Sd Bhd, juga dari Johor.

Turut menerima anugerah ialah tiga pekerja rel, iaitu Suryati Sukiman dari Ampang Line, Saravanan Subramaniam (monorel) dan Mohd Nordin Kimi (KTMB).

Lain-lain pemenang anugerah ialah:
Syarikat Logistik Petikemas Sdn Bhd (pengusaha kontena terbaik); Express Rail Link Sdn Bhd (pengusaha rel terbaik); Melaka Sentral (pengusaha terminal bas terbaharu terbaik - diuruskan secara persendirian); Terminal Sentral Kuantan (pengusaha terminal bas terbaharu terbaik - diusahakan oleh Majlis Perbandaran); KL Sentral (terminal rel terbaik); JB Sentral (terminal rel terbaharu terbaik); GTRS Team Kelana Jaya Line dari Rapid Line Sdn Bhd (anugerah inovasi).

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap