Ini sebabnya kerajaan letak transformasi pengangkutan awam sebagai agenda utama...- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata Agenda Transformasi Pengangkutan Awam Darat bukan sekadar membina projek infrastruktur mega, tetapi bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan taraf hidup rakyat Malaysia.

Katanya, dalam tempoh jangkamasa panjang, rangkaian pengangkutan awam yang moden dan mampan akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti persekitaran.

"Atas sebab inilah kita meletakkan transformasi pengangkutan awam sebagai agenda utama di bawah Program Transformasi Nasional (NTP)," katanya.

Najib berkata demikian ketika menutup Simposium Pengangkutan Awam Darat 2017 di Kuala Lumpur, Isnin.

Najib berkata untuk melaksanakan visi itu maka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan pada 2010. Pada 2013 SPAD telah menghasilkan Pelan Utama Transformasi Pengangkutan Awam Darat.

"Hasil usaha keras kami sejak tujuh tahun lalu untuk memodenkan rangkaian rel, memperbaiki perkhidmatan bas dan mobiliti, negara kita telah mencapai banyak kejayaan dalam mempertingkatkan kesalinghubungan," katanya.

Najib mengambil contoh penambahan jajaran LRT sejauh 35km yang siap sepenuhnya pada 2016 memberi manfaat kepada penduduk di kawasan padat seperti Bandar Kinrara, Puchong, Putra Heights, USJ dan Subang Jaya.

Hasilnya jajaran LRT Kelana Jaya mencatatkan peningkatan 26 peratus (271,250) penumpang harian dari Januari hingga Ogos 2017, berbanding 215,855 pada 2016. 

Penumpang harian Jajaran LRT Ampang pula meningkat 14 peratus (184,931) dari Januari hingga Ogos 2017.

Katanya peningkatan sistem komuter KTM yang akan siap sepenuhnya pada 2019 juga akan menghasilkan perjalanan yang lebih efisien.

Dengan siapnya projek LRT 3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Kelang, serta MRT2 yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, sistem pengangkutan awam di negara ini akan menjadi lebih mampan.

"Jajaran MRT 1 dari Sungai Buloh ke Kajang sudahpun mencatatkan jumlah penumpang harian seramai 101,024 dari Januari hingga Ogos. Dengan keupayaan membawa 400,000 penumpang sehari, kita yakin jumlah itu akan meningkat."

Najib berkata pada ketika ini SPAD dan MRT Corp sedang menyiapkan kajian jajaran MRT 3, yang meliputi Bandar Malaysia, Mont Kiara, Sentul, Midvalley dan Setiawangsa.

"Kerajaan berhasrat mempercepatkan pembinaannya secara berperingkat-peringkat. Insya-Allah, dengan terlaksana semua ini, kita berada pada landasan yang tepat untuk menjadikan bandaraya ini lebih lestari," katanya.

Najib turut mengumumkan pada Disember ini, Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian usahasama untuk projek JB-Woodlands Rapid Transit System (RTS).

Projek sejauh empat kilometer itu yang dijangka siap pada 2024 akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru di Malaysia dan Woodlands Utara di Singapura.






Comments

Popular posts from this blog

Lapan maut - SPAD gantung permit pengendali

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020