SPAD Gesa Prasarana Tangani Isu KL Monorel




KENYATAAN MEDIA

SPAD MENGGESA PRASARANA UNTUK BERTINDAK SEGERA
DALAM MENANGANI ISU KL MONOREL

KUALA LUMPUR, 15 MEI 2017 – SPAD memandang serius terhadap pengumuman oleh Rapid Rail Sdn Bhd baru-baru ini bahawa ia telah menghentikan operasi beberapa tren set 4-gerabak pada hari Jumaat lepas berikutan timbulnya isu-isu keselamatan.  Penghentian operasi tren tersebut diperlukan demi kepentingan keselamatan penumpang dan Suruhanjaya akan terus memantau langkah-langkah pemulihan yang sedang dijalankan oleh Rapid Rail untuk memastikan bahawa penumpang terus menerima perkhidmatan yang boleh dipercayai. Bagi menampung kekurangan perkhidmatan yang timbul daripada penggunaan tren set 2-gerabak dengan kekerapan setiap 8 minit, Rapid Rail telah memberikan jaminan kepada Suruhanjaya bahawa ia akan menyediakan bas ulang-alik tambahan dengan kekerapan di antara 7 dan 15 minit di stesen-stesen yang sibuk pada waktu 7 sehingga 9 pagi dan 5 sehingga 7 petang.

SPAD telah mengarahkan Prasarana dan Scomi untuk mengambil langkah-langkah segera untuk meningkatkan kebolehpercayaan 5 set tren 4-gerabak dengan mengguna pakai kaedah penyelenggaraan yang lebih ketat, serta standard perkhidmatan dan keselamatan yang lebih tinggi. Ini akan membolehkan pengendali mengesan permasalahan dengan lebih awal, sebelum terjadinya gangguan dan kelewatan perkhidmatan yang akan membebankan pengguna. Suruhanjaya juga telah menggesa Scomi, selaku pembuat tren, untuk terus bekerjasama dan menyegerakan penghantaran baki 7 set tren 4-gerabak baru. Ini adalah penting bagi membolehkan Prasarana menjalankan perkhidmatan tren dengan lebih kerap dan meningkatkan kapasiti perkhidmatan KL Monorel semasa dan sekali gus memastikan aliran penumpang yang tinggi pada masa-masa tertentu dapat ditampung, terutamanya pada waktu puncak.

Bagi memastikan adanya pengawasan yang lebih rapat terhadap langkah-langkah segera dan sesuai yang dijalankan pengendali, Prasarana diarahkan untuk mengemukakan kepada SPAD maklumat terkini mengenai kerosakan yang dapat dikesan pada rangkaian KL Monorel ketika penyelenggaran rutin harian dijalankan. Ini termasuk perancangan pembaikpulihan dan garis masa bagi menangani isu-isu yang ditemui.

-Tamat-

Bagi sebarang pertanyaan media:
Bahagian Komunikasi,
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
Tel: +603 2726 7000/Faks: +603 2726 7007
Emel : communications@spad.gov.my

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia