Projek HSR guna 40 peratus komponen tempatan




KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura menggunakan 40 peratus sumber komponen tempatan. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata ia bagi membolehkan kontraktor tempatan mengambil bahagian dalam projek mega itu.

 Katanya, syarikat yang dipilih melaksanakan projek itu belum disenarai pendek dan akan dimuktamadkan hujung tahun manakala pembinaan bermula tahun depan. "Saya yakin projek ini akan siap ikut jadual pada 2026 dan semuanya berdasarkan perancangan awal ditetapkan kerajaan.

 Beberapa syarikat dari luar negara sudah membuat bidaan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Simposium Kereta Api Berkelajuan Tinggi anjuran Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun bersama SPAD di sini, hari ini.

 Projek HSR yang disasar memulakan operasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

 Landasan sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam. 

  Mengenai tambang HSR, Syed Hamid berkata, ia hanya diputuskan selepas projek berkenaan siap namun memberi jaminan harganya berpatutan. "Kita tak boleh mengenakan tambang tinggi untuk mendapatkan semula kos pembinaan kerana Malaysia bukan negara mempunyai populasi tinggi seperti China," katanya. - Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap