Jangan politikkan projek ECRL kerana ia untuk kebaikan negara dan keselesaan rakyat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta supaya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak dipolitikkan kerana ia adalah untuk kebaikan negara dan keselesaan rakyat.
 
Malah katanya ECRL juga selain menguntungkan negara boleh menjadi pemangkin untuk meningkatkan ekonomi serta mengubah kehidupan dan taraf hidup penduduk di negeri-negeri Pantai Timur.
 
"Saya musykil bila projek ini begitu menguntungkan negara khususnya negeri-negeri Pantai Timur, dan diakui boleh menjadi "game-changer", boleh mengubah gaya hidup kita menjadi lebih moden, lebih progresif, tapi ada pula orang yang cuba menidakkan usaha ini kononnya kita menjual kedaulatan negara.
 
"Memang kita buat hubungan dengan China dengan mendapat pinjaman dari Exim Bank. Dengan China juga kita wujudkan kerjasama antarabangsa. Sudah tentu ia mengukuhkan hubungan antara negara.
 
"Projek ini sebagai pemangkin mengubah cara hidup kita. Bila masa pengangkutan rel bermaksud jual negara? Tak ada kena mengena. Ini projek untuk rakyat.
 
Tak ada salahnya kalau kita ada hubungan dengan ekonomi terbesar di dunia yang ada kemampuan seperti China. Kita juga buat hubungan dengan Arab Saudi, India, USA dan Jepun selain dari negara Asean yang menguntungkan negara,
 
"Janganlah politikkan projek ini. Projek ini adalah untuk kebaikan negara, untuk keselesaan masyarakat, khususnya di Pantai Timur.
 
"Bila siap sepenuhnya projek ini pertumbuhan negeri-negeri pantai timur akan naik 1.5 peratus," katanya.
 
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Pemeriksaan Awam ECRL oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Darat) di Kuala Lumpur, Selasa.
 
Turut hadir ialah Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
 
Menurut Najib, lazimnya majlis seumpama itu tidak ada pelancaran rasmi tetapi apabila diberi taklimat projek ECRL ini oleh SPAD, dia memutuskan untuk datang dan melancarkannya untuk menggariskan betapa pentingnya projek ini bagi rakyat Malaysia, khususnya rakyat di negeri-negeri Pantai Timur.
 
"Selama ini kita memang mencari untuk menutup jurang pembangunan di antara Pantai Barat dan Pantai Timur. Kalaulah adanya satu-satu projek yang boleh dianggap sebagai "game-changer", tidak lain tidak bukan ialah projek ECRL.
 
"Inilah projek yang boleh memaju kadar pertumbuhan yang lebih tinggi lagi untuk negeri-negeri Pantai Timur," katanya lagi.
 
Menurut Najib ECRL bermula dari Wakaf Bharu, Kelantan hinggalah ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak melalui empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sepaniang 600.3km.
 
Najib berkata kerajaan telah memutuskan supaya projek ECRL dipanjangkan ke Pelabuhan Kelang.
 
"Kalau kita nak jadikan pengangkutan produk-produk barangan dagangan adalah wajib ia disambungkan ke Pelabuhan Kelang," katanya.
 
Najib yakin ECRL dapat membuatkan perjalanan lebih mudah bagi rakyat biasa terutama pada waktu perayaan.
 
"Sewaktu Hari Raya dan sambutan Tahun Baharu Cina dan sebagainya perjalanan rakyat atas jalanraya sesak dengan kereta. Saya difahamkan perjalanan dari Kuala lumpur melalui Gua Musang ke Kota Bharu memakan masa sehingga 12 jam atau lebih. Ini tidaklah keadaan yang seharusnya kita biarkan selama-lamanya.
 
"Pantai Timur memang mempunyai potensi yang besar untuk pembangunan, pertanian, komersil, industri, pks dan pelancongan. Sudah tentu ini semua memerlukan sistem pengangkutan rel yang lebih moden dan efisien. Ini dapat kurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan kepada empat jam," tambahnya lagi.
 
Perdana Menteri berkata kerajaan sedang berusaha mencari mod pengangkutan yang mesra alam dan mesra persekitaran. 
 
"Persekitaran kita dah banyak rosak. Cameron Highlands dah rosak. Kita mesti cari jalan menjaga alam sekitar sebaik-baiknya. Banjir di Kelantan dan sebagainya mengingatkan kita, kalau kita tak jaga alam sekitar kita semua akan terima padah."
 
Najib berkata langkah SPAD mengadakan Pemeriksaan Awam (public display) adalah kaedah yang baik kerana menerusinya kerajaan boleh mendapatkan pandangan rakyat untuk menjadikan projek ini menepati citarasa mereka.
 
Pemeriksaan Awan bagi projek ECRL berlangsunf selama 3 bulan bermula 8 Mac 2017.
 
Sesi Pemeriksaan Awam ini akan mempamerkan pertamanya, cadangan laluan kereta api dari Wakaf Bharu ke ITT Gombak  yang mempunyai 23 stesen di sepanjang landasan sejauh 600.3 km. 
 
Kedua, lokasi stesen pertukaran dengan landasan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia dan ketiganya, lain-lain ciri projek ECRL.
 
Selain daripada ibu pejabat SPAD, sesi Pemeriksaan Awam akan turut diadakan di 38 lokasi yang dikunjungi orang ramai.
 
Antara lokasi itu termasuk pejabat-pejabat daerah di Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Putih, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman, Dungun, Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong dari tarikh 8 Mac 2017 sehingga 5 Jun 2017. 
 
Pameran ini merupakan keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang menyatakan bahawa satu forum maklum balas awam perlu diadakan bagi setiap projek rel yang dicadangkan.
 
Pameran ini juga bertujuan bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai manfaat sosio-ekonomi projek ECRL kepada negara.
 
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat dan memberikan maklum balas boleh menghubungi talian bebas tol 1800-222-524 atau melawat laman sesawang MRL (www.mrl.com.my) atau menghantar e-mel kepada - 8/3/2017 - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap