SPAD LANCARKAN myBAS DI KANGAR, PERLIS

 Kangar, 25 Ogos 2015 – Suruhanjaya Pegangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari ini telah mengumumkan pelancaran rasmi perkhidmatan bas henti-henti berjenama myBAS buat julung kalinya dibawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST).

myBAS menyediakan perkhidmatan bas henti-henti yang lebih cekap dan boleh dipercayai orang ramai. Perkhidmatan myBAS yang telah mula beroperasi di Kangar pada 1 Ogos 2015 telah menerima sambutan yang positif di mana terdapat peningkatan jumlah bilangan penumpang harian dari 271 ke 447 penumpang.


Perkhidmatan myBAS ini menawarkan liputan yang lebih luas di Kangar dengan jumlah jarak laluan sebanyak 337 km, yang merupakan peningkatan daripada 124 km sebelum ini. Ianya menyediakan akses yang lebih baik kepada masyarakat bandar dan luar bandar dengan pelaksanaan di 5 laluan utama dan 10 laluan perantara.

 Bagi sesetengah laluan, kekerapannya ditingkatkan ke dua kali ganda, manakala waktu operasi laluan utama telah dilanjutkan sehingga jam 9.00 malam. Ini termasuklah perkhidmatan di laluan utama dari Kangar ke Arau yang akan beroperasi pada frekuensi setiap 30 minit.

 Jalan-jalan utama lain termasuk Kangar-Padang Besar, Kangar-Beseri-Arau, Kangar-Ayer Itam dan Kangar-Kuala Perlis-Kg. Wai. Laluan pengantara termasuk: Kangar-Kg. PanggauKangar, Arau-Pauh Putra-Felda Chuping, Arau-Guar Nangka-Felda Chuping, Beseri-Kg. Jejawi-Beseri, Beseri-UiTM Arau-Arau, Arau-Kilang Gula, Arau-Kuala Sg. Baru dan Kaki BukitWang Kelian. Dua perkhidmatan pengantara tambahan dari bandar Kangar juga disediakan (menuju ke utara dan selatan).

Perkhidmatan khas pada hujung minggu juga disediakan bagi destinasi ke Wang Kelian dan Hutan Lipur Bukit Ayer. Rangkaian myBAS ini, bersama-sama dengan perkhidmatan ETS baru oleh KTMB untuk ke Arau dan Padang Besar akan memberikan integrasi pengangkutan awam yang lebih baik secara keseluruhan di Perlis.

Foto Oleh FB SPAD
 Kerajaan Persekutuan dijangka akan melaburkan RM100 juta bagi program SBST di 5 bandar utama, bermula dengan Kangar bagi meningkatkan mobiliti rakyat dan capaian ke kawasan di mana bas henti-henti masih merupakan tunjang belakang pengangkutan awam.

 “Diluar Lembah Klang, bas henti-henti masih lagi menjadi mod pengangkutan awam berjadual yang amat penting bagi rakyat. Industri bas henti-henti sebelum ini telah berdepan dengan pelbagai masalah yang menggugat kemampanannya sebagai sebahagian daripada sistem pengangkutan awam negara.

 Perkhidmatan myBAS di bawah program SBST bertujuan mewujudkan perkhidmatan bas yang mampan dan pada masa yang sama menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar serta kawasan kampung dan bandar; iaitu dengan perjalanan berjadual bagi membolehkan penduduk pergi ke tempat kerja, sekolah dan pusat perniagaan.

 Dengan itu myBAS akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan mutu hidup dan produktiviti,” kata Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar.

 Perkhidmatan myBAS Perlis telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis bersama Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar. Majlis itu telah disertai and Ketua Pegawai Pembangunan, Dr. Prodyut Dutt. MARA Liner telah diwakili oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.


Maklumat tambahan mengenai program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST):

 o Perkhidmatan myBAS akan dilaksanakan di 5 bandar utama termasuk Kangar, Seremban, Kuching, Ipoh dan Kuala Terengganu.

 o Terdapat Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketat dikenakan terhadap pengendali seperti menepati masa, kebolehpercayaan, spesifikasi kenderaan dan kepuasan pengguna. Sekiranya pengendali tidak mematuhi KPI, terdapat penalti yang akan dikenakan kerana tidak mencapai sasaran.

 o SPAD akan memantau secara rapat prestasi pengendali. Contohnya kekerapan perkhidmatan, waktu operasi dan jumlah penumpang akan dipantau oleh SPAD melalui GPS dan laporan penilaian daripada pegawai SPAD.

 o Di bawah program baru ini, pengendali boleh menumpukan perhatian kepada memberikan pengalaman perjalanan yang terbaik kepada penumpang dan tidak perlu bergantung kepada kutipan tambang bagi kesinambungan dan peningkatan mutu perkhidmatan. Terdapat juga insentif yang bertujuan menggalakkan pengendali bas menjanakan lebih banyak pendapatan dengan meningkatkan jumlah penumpang mereka, iaitu mereka akan dibayar satu peratus daripada kutipan tambang apabila terdapat peningkatan jumlah penumpang dan kutipan tambang bagi setiap laluan sebanyak lima peratus.

 o Perancangan juga sedang dibuat bagi memperkenalkan sistem kad pra-bayar bagi pengguna bas henti-henti sebagai langkah permulaan ke arah sistem perjalanan bersepadu. Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti adalah bertujuan menentukan tambang dikenakan mampu dibayar oleh penumpang dan menjamin kemampanan perkhidmatan. Di dalam jangkamasa panjang ini dijangkakan akan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dengan memberi keutamaan dalam menyediakan perkhidmatan optimum kepada rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap