MyBAS ganti skim ISBSF

Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) yang diperkenal sejak 2012 akan digantikan dengan Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) yang menggunakan jenama myBAS.

Malah myBAS telahpun bermula di Perlis sejak 1 Ogos lalu dan akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Ogos nanti. Pelancaran myBAS seterusnya akan dilakukan di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata langkah itu adalah sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek RM10.3 juta yang merupakan sebahagian dana ISBSF untuk tahun 2015 kepada 11 wakil pengendali bas di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, pada Jumaat. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

11 syarikat pengendali bas yang menerima dana berkenaan ialah Wawasan Sutera Travel & Tours, Seranas (Selangor), Setara Jaya, Sri Indah Jaya (Kuala Lumpur), The Combined Bus Service  (Perak), The Kulim Baling Road Trans Co (Kedah), KTB Group (Selangor, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan), Syarikat Kenderaan S & S, Handal Indah (Johor), Mustika Enterprise (Sabah) dan City Public Link Bus Services (Sarawak).

Sejak penubuhannya pada 2012, ISBSF mendapat peruntukan sebanyak RM470 juta daripada Kerajaan Malaysia bagi tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan selesa kepada rakyat.

"Dengan inisiatif ISBSF, rakyat dapat menikmati peningkatan tahap kualiti perkhidmatan bas henti-henti. Dana ini dapat membantu pengendali bas henti-henti meneruskan perkhidmatan di laluan yang kurang menguntungkan terutamanya di kawasan luar bandar.

"Namun dana ini adalah sementara. Ia perlu digantikan dengan skim yang lebih kekal, iaitu SBST dengan pelancaran myBAS di negeri-negeri lain," katanya.

Menurut Syed Hamid pada Ogos sahaja sebanyak RM28 juta telah dibayar kepada pengendali bas henti-henti di bawah ISBSF. Bayaran keseluruhan yang telah dibuat dari dana ini sejak ia mula ditubuhkan ialah RM386.16 juta. - 21/8/15.








Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap