Penumpang kerusi belakang yang tak pakai talipinggang keledar akan dikenakan tindakan!

Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penumpang kereta kerusi belakang yang tidak memakai talipinggang keledar sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2015 bermula pada 11 hingga 25 Julai 2015.


Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Liow Tiong Lai, berkata tindakan itu dibuat memandangkan kadar pematuhan penumpang kereta kerusi belakang yang memakai tali pinggang keledar adalah rendah, iaitu antara tujuh hingga sembilan peratus sahaja.


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaaan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2015 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan pafa Sabtu.


Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu, Liow berkata hanya sembilan peratus penumpang kerusi belakang yang menggunakan talipinggang keledar.


Menurutnya penguatkuasaan penggunaan talipinggang keledar untuk penumpang kerusi belakang telah dilaksanakan sejak 2009 tetapi menurut Institut Kajian Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS), hanya tujuh hingga sembilan peratus penumpang yang berbuat demikian.

Liow berkata untuk memastikan keselamatan pengguna jalanraya sempena sambutan Aidilfitri, Jabatan Pengangkutan jalan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar penumpang kerusi belakang.


Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju kepada10 km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mulai 10 hingga 25 Julai 2015.


Sehubungan itu, katanya, had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan kepada 70 km/j. 

Menurut Liow, bersesuaian dengan tema yang dipilih oleh kementerian untuk kempen berkenaan - Nyawa dihargai, selamat ke destinasi, kemeriahan dirasai, ia akan menekankan kepada keselamatan semasa berada di jalanraya supaya pengguna  selamat ke destinasi yang dihajati untuk menyambut Aidilfitri.


"Sasaran kerajaan ialah mencapai indeks kematian jalanraya pada 2.0 bagi setiap 10 ribu kenderaan menjelang tahun 2020, berbanding 2.9 sekarang.


"Mengikut statistik PDRM secara puratanya 19 kematian direkod akibat kemalangan jalan raya setiap hari. Ini adalah satu jumlah yang amat besar  dan perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak.


"Maka, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada musim perayaan selain mengawal selia pergerakan lalu lintas," katanya.


Menurut Liow, jumlah kemalangan yang direkodkan oleh statistik PDRM pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun  2014 telah mecatatkan penurunan kepada 217 kes berbanding 258 kes pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2013.


"Ini membuktikan bahawa usaha-usaha pihak Kerajaan dengan pihak swasta dan NGO telah berhasil dalam mengurangkan kemalangan maut," katanya.


Liow berkata untuk menjayakan kempen berkenaan, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan dengan pelbagai kementerian misalnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM), KKR serta agensi-agensi seperti JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam, JKJR dan JPJ.


Liow turut berpuashati dengan pendekatan yang diambil dalam operasi penguatkuasaan pada masa ini di mana badan-badan penguatkuasaan seperti JPJ, PDRM dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bekerjasama sebagai satu pasukan. 


Ops HRA 2015 yang bermula pada 11 hingga 25 Julai 2015 akan membabitkan seramai 1,800 anggota JPJ yang akan ditempatkan di lokasi statik bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan.


Manakala seramai 1,000 orang ahli Skuad Muda 1JPJ juga ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu bagi menjalankan aktiviti advokasi.


Kata Liow, seperti tahun-tahun lepas juga, Bahagian penguatkuasan SPAD juga akan bersama-sama dalam menjalankan pemantauan terutama yang melibatkan pengangkutan awam.


Katanya larangan ke atas kenderaan barangan  juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 15 dan 16 Julai 2015  serta pada 24 dan 25 Julai 2015. 


Katanya larangan itu bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas.


Liow turut mengumumkan penurunan indeks kematian bagi setiap 10 ribu kenderaan berdaftar di Malaysia kepada 2.90 kematian pada tahun 2013 berbanding 4.51 kematian pada tahun 2004. - 11/7/15.




Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap