SPAD teruskan Skim Insurans Murid Sekolah

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2014 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan bahawa murid-murid sekolah yang menaiki bas sekolah berdaftar, akan terus menikmati perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah pada 2015. 

Skim insurans ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Bajet 2013 di mana kerajaan telah melantik SPAD sebagai agensi penyelaras skim ini.

SPAD dalam kenyataan medianya hari ini mengatakan kerajaan telah meluluskan penerusan perlaksanaan skim insurans ini berdasarkan kepada keperluan dan sambutan baik oleh ibubapa, pengurusan sekolah dan pengusaha bas sekolah. 

Skim insurans ini merupakan suatu langkah SPAD dalam mempertingkatkan perkhidmatan industri bas sekolah dan pada masa yang sama membantu murid-murid dan keluarga murid bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.

Untuk makluman juga, bantuan khas juga telah diberikan kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru melalui Skim Penggantian Bas Sekolah yang akan berakhir pada 31 Disember 2014. 

Sehingga kini sebanyak 200 pengendali bas sekolah telah berjaya mendapat bantuan tersebut.

Menjelang musim balik ke sekolah, SPAD mengesyorkan agar ibubapa memilih pengendali bas sekolah yang berdaftar bagi keselamatan anak-anak. 

Di samping itu pengendali bas sekolah yang masih belum berdaftar dengan SPAD, diminta tampil ke hadapan untuk mengesahkan perkhidmatan mereka dan dengan itu melayakkan mereka bagi Skim Insurans Murid Sekolah dan manafaat-manafaat lain.

Skim Insurans Murid Sekolah memberi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan SPAD bagi Semenanjung Malaysia dan LPKP bagi Sabah & Sarawak.

Inisiatif ini memberi manfaat kepada hampir dua juta murid-murid sekolah dengan
perlindungan maksimum sebanyak RM100 ribu.

Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM 100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).

Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah.

Sejak Januari 2013 hingga kini, 10 kes tuntutan telah direkodkan. Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM316,612.10. 
Skim ini telah membantu keluarga, waris dan murid-murid; seperti dalam kes Mohd. Sanusi Bin Ismail, murid SMK Seri Gadong. Bantuan telah diberikan bagi membolehkan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan kakinya yang tinggal.

Skim Penggantian Bas Sekolah adalah satu skim pinjaman dengan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru.

Pihak kerajaan telah menyediakan bantuan rebet tunai sebanyak RM10 ribu dan
pemberian subsidi kepada kadar faedah tahunan sebanyak dua peratus.

Inisiatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional turut menawarkan pinjaman
sehingga RM150 ribu dan tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun.

Sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh BSN dengan 200 permohonan
diluluskan, 20 ditolak (pemohon telah diisytiharkan bankrap).

Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2014 dan pihak BSN masih menerima permohonan yang dihantar sebelum 31 Disember 2014.

Comments

Popular posts from this blog

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020