SPAD tangkap 10 ulat bas dalam Ops Parasit/Serkap di Pudu Sentral.

Sepuluh “ulat” yang cuba mendesak pelanggan membeli tiket bas berjaya ditahan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam Ops Parasit/Serkap yang diadakan di Pudu Raya, bermula 10 pagi hingga lima petang, Rabu.

Operasi berkenaan diketuai oleh Pengurus Besar Besar Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, membabitkan 12 anggota dan seorang pegawai SPAD serta beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Che Hasni, semua yang ditahan akan dakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1 ribu dan tidak melebihi RM50 ribu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Operasi ini diadakan memandangkan cuti panjang Krismas, SPAD mahu mempastikan tidak berlaku sebarang penipuan penjualan tiket. Kami juga mahu memastikan pengendali dan pemandu bas tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh APAD untuk memastikan keselamatan penumpang,” kata Che Hasni kepada media selepas majlis pemberian risalah keselamatan kepada penumpang bas ekspres di hentian berkenaan.

Menurut Che Hasni, sepanjang tahun ini, di Pudu Sentral sahaja, SPAD telah mengenalpasti 803 kesalahan dan ia sedang dalam proses untuk dibawa ke Timbalan Pendakwaraya yang akan menentukan sama ada akan mengenakan kompaun atau membawa pesalah ke mahkamah.

Katanya kebanyakan kesalahan itu membabitkan pengusaha mengenakan tambang berlebihan, mengambil dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan serta berkaitan lesen. Manakala jumlah “ulat” yang ditangkap ialah 41 (termasuk 10 yang ditahan pada Rabu).

Che Hasni juga mengingatkan penumpang supaya tidak melayani ulat-ulat tiket bas yang berkeliaran di Pudu Sentral.

“Saya harap penumpang jangan layan ulat. Belilah tiket di kaunter. Ini kerana jika dibeli dari ulat, mereka tidak ada jaminan akan dapat bas atau tidak. Kita sudah menyediakan kaunter jadi tidak perlu beli dari orang lain. Jika beli dari ulat masa berlepas juga tidak menentu dan mereka mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal dan boleh menjejaskan keselamatan. Saya pun ingin memberi amaran kepada pengendali supaya tidak menggunakan khidmat ulat kerana mereka juga boleh didakwa di bawah Akta APAD,” katanya.







Comments

Popular posts from this blog

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020