SPAD iktiraf pemandu teksi amanah


Kebelakangan ini kita sering membaca mengenai gelagat pemandu teksi yang suka melanggar peraturan, biadap dan sebagainya.

Tetapi pada Khamis, dua orang pemandu teksi telah menunjukkan sifat terpuji yang patut dijadikan contoh oleh rakan-rakan sejawat mereka.

Sifat terpuji See Meng Ko, 60 dan Mohamad Muhaimin, 40 telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang seterusnya memberi pengiktirafan kepada mereka dalam satu majlis ringkas.

See dan Mohamad telah menerima sijil penghargaan daripada Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Meng Ko telah menjumpai kamera benilai RM 20,000 milik Erme Halini, seorang jurutera IT semasa beliau bersama suami menaiki teksi See di KL Sentral pada bulan Januari 2014.  

Selepas menyedari kameranya tertinggal di dalam teksi, Erme cuba mencari See.

Pada masa yang sama See juga cuba mencari pemilik kamera berkenaan dan akhirnya mereka bertemu semula di KL Sentral.

"Bila dapat kamera, dia mahu beri wang tetapi saya tolak. Tapi dia terus masukkan wang dalam poket saya dan saya terpaksa terima," kata See ketika diminta menceritakan pengalamannya.

Menurut See dia menjangkakan peristiwa itu akan berlalu begitu sahaja tetapi sikap terpujinya telah diadukan kepada SPAD.

Mohamad Muhaimin, pula telah memulangkan semula dompet milik Nurulhuda binti Mohd Akhir yang tertinggal di dalam teksinya.

Menurut Nurulhuda, seorang penjawat awam di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya, dompetnya mengandungi wang tunai, lesen pemandu, kad kredit dan kad ATM. 

Katanya Mohamad Muhaimin telah bersusah payah untuk menghubunginya untuk memulangkan dompet tersebut.

Mohamad berkata itu bukan kali pertama dia menemui barang tertinggal di dalam teksi dan memulangkannya kepada tuanpunya.

"Kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku tetapi saya tak bercerita dan tidak ada yang mengadu. Saya terkejut apabila dipanggil oleh SPAD untuk menerima pengiktirafan ini," katanya.

Sementara itu Syed Hamid berkata dia amat berbangga dengan sikap terpuji kedua-dua pemandu teksi itu.

"Saya berharap pemandu-pemandu lain mengikut contoh mereka kerana ini boleh memulihkan imej pemandu teksi negara ini.

"Tak semua pemandu teksi jahat. Tetapi hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Saya harap golongan segelintir pemandu yang bersikap kurang baik dapat berubah sikap dan mencontohi mereka," katanya. - 13/3/14.






Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap