Hanya 381 TEKS1M sudah beroperasi


Daripada 1,000 pemandu teksi yang berjaya mendapat skim Teksi 1Malaysia (TEKS1M), hanya 381 yang sudah memulakan operasi.

Ini kerana sebahagian besar permohonan menghadapi masalah mendapat pinjaman disebabkan beberapa masalah, antaranya kerana telah disenaraihitamkan oleh bank.

Ada juga permohonan terpaksa diproses semula kerana beberapa masalah teknikal dan sebagainya.

Pengerusi Suruhanjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya mensasarkan masalah itu dapat diselesaikan sebelum pertengahan tahun.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil tamat kursus kepada 56 pemandu TEKS1M di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azmi Aziz.

Kursus berkenaan dianjurkan secara berperingkat-peringkat sejak 24 Februari lalu untuk pemandu TEKS1M di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. 

Tujuan sesi latihan itu adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu TEKS1M dalam setiap aspek termasuklah kemahiran berkomunikasi, menanam semangat jati diri sebagai pemandu teksi yang profesional. 

Latihan ini juga adalah sebagai inisiatif perintis kepada transfomasi kerjaya pemandu teksi dan juga industri teksi.


Pada majlis itu juga Syed Hamid menyampaikan sijil penghargaan kepada dua pemandu teksi yang telah menunjukkan sifat terpuji semasa menjalankan tugas.

See Meng Koe, pemandu berusia 60 tahun telah memulangkan kamera bernilai RM20ribu yang tertinggal di dalam teksinya kepada seorang jurutera yang baru pulang dari berbulan madu di Langkawi.

Seorang lagi pemandu, Muhammad Muhaimnin Abdullah pula memulangkan dompet mengandungi wang tunai, kad pengenalan, kad ATM dan kad kredit seorang pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.

"Selama ini kita dengar banyak cerita mengenai sikap pemandu teksi yang kasar dan sebagainya. Tetapi kedua-dua pemandu ini membuktikan bukan semuanya begitu.

"SPAD ingin melihat lebih ramai pemandu teksi berhemah tinggi supaya mereka dapat menjadi penanda aras kepada sistem pengangkutan lain.

"Pemandu teksi yang profesional dan berhemah akan membuat penumpang berasa selamat dan selesa dan seterusnya akan kerap menggunakan perkhidmatan teksi," katanya.

Ditanya mengenai had umur maksimum pemandu teksi, Syed Hamid berkata SPAD tidak membuat sebarang had. 

"Asalkan mereka sihat, cergas dan masih berupaya memandu," katanya. - 13/3/14 Foto Oleh Hilmi Jaafar


























Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap