SPAD anjur anugerah untuk pengusaha, pengendali dan pemandu pengangkutan awam darat.

SPAD anjur anugerah untuk pengusaha, pengendali dan pemandu pengangkutan awam darat.


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengiktiraf pengusaha dan pemandu pengangkutan awam darat yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang atau menyumbang kepada masyarakat dalam satu majlis gemilang yang dijadualkan berlangsung Disember depan.


Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, anugerah itu akan diadakan bersempena Simposium Pengangkutan Awam Darat 2013 di Kuala Lumpur.


Beliau mengumumkan demikian semasa majlis taklimat SPAD kepada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di Kuala Lumpur, Ahad. Ia adalah pertemuan pertama diadakan antara SPAD dan BNBBC sejak ia ditubuhkan pada 2010.


“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014 kita ada ganjaran untuk duta-duta kecil pengangkutan awam darat. Mereka yang memberikan perkhidmatan cemerlang dan sifat terpuji akan dihargai,” katanya.


Antara kategori yang disediakan untuk malam berkenaan ialah Anugerah Pengendali Terbaik, Anugerah Pengurusan Sumber Manusia Terbaik, Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Khas Pemandu Contoh.


Syed Hamid berkata walaupun terdapat banyak laporan mengenai sikap segelintir pemandu teksi, bas dan lori yang kurang memuaskan, tetapi masih ramai yang berhemah tinggi dan mempunyai sifat terpuji.


Beliau mengambil contoh kes Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar baru-baru ini diselamatkan seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi di Taman Tasik Titiwangsa.


“Memang kita ada terima banyak laporan mengenai pemandu teksi dan teksi yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan. Tetapi tidak semua pemandu begitu. Ada yang mempunyai sikap terpuji seperti pemandu-pemandu yang membantu polis dalam kes penculikan itu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata SPAD sedang menyiapkan kertas cadangan mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan di mana berlaku pertindihan antara suruhanjaya itu dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.


“Ada beberapa kelemahan dalam akta ini. Bidang kuasa pun banak bertindih. Kami akan mengemukakan kepada kerajaan beberapa cadangan supaya perlaksanaannya dapat membantu meningkatkan sistem pengangkutan awam,” katanya. – 12/11/13.
















Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap