Pemandu mungkin lupa, tapi SPAD tak pernah lupa.



Pemandu mungkin lupa, tapi SPAD tak pernah lupa.

Pelanduk lupakan jerat, tetapi jerat tak lupakan pelanduk. Begitulah halnya dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pemandu teksi mungkin ada kalanya terlupa SPAD sentiasa buat operasi, lantas sesuka hati melanggar peraturan. Tetapi SPAD tak pernah lupa pada pemandu teksi.

Itulah mesej yang mahu diberikan kepada pemandu-pemandu teksi yang tak serik-serik melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat dan secara langsung menjejaskan imej negara, apatah lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD , Datuk Paduka Mejar (B) Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya tidak mengadakan operasi secara bermusim, malah sentiasa melakukannya untuk memantau pemandu teksi, terutama yang tidak menggunakan meter.

“Kami melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk mentertibkan pemandu-pemandu yang tidak bertanggungjawab.  Malah, setiap kali ada perayaan, kami bekerja 24 jam dengan tumpuan diberikan pada terminal bas dan teksi, selain membuat rondaan di jalanraya dan lebuhraya untuk memastikan penumpang tak ditipu,” katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Tak Guna Meter (Ops TGM), pada Jumaat malam.

“Kami harap penumpang yang kena tipu dapat memberikan maklumat terperinci, misalnya nombor teksi, lokasi dan tarikh kejadian serta nama pemandu. Sekiranya ada telefon bimbit, gunakannya untuk merekodkan kesalahan yang dibuat oleh pemandu teksi berkenaan supaya kami dapat bukti lebih kukuh untuk mensabitkan kesalahan.

Malam tadi, SPAD bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan Ops TGM di sekitar di Bukit Bintang, Pavillion, KLCC, Pudu dan KL Sentral. Operasi dilakukan secara penyamaran. Seramai 90 anggota SPAD dan 13 polis terlibat dalam operasi berkenaan.

“Kita melakukan dua fasa operasi, iaitu pada sebelah petang dan malam. Kita telah menghantar 20 pasukan penyamaran pada operasi petang dan 12 pasukan pada operasi malam.

“Pada keseluruhannya, dalam operasi kali ini kita telah dapat menangkap sebanyak 28 kes di mana 23 kes teksi tak guna meter, tiga kes kerana kesalahan menetapkan kadar tambang, satu kes tiada kad pemandu dan satu lagi kes atas lain-lain kesalahan.

“Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 22-23 Akta Pengangkutan Awam Darat. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari RM1ribu dan tak lebih dari RM500 ribu, atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Che Hasni berkata dalam beberapa operasi yang telah dijalankan, SPAD mendapati terdapat pemandu-pemanu teksi yang melakukan kesalahan berulangkali.

“Pada beberapa hari lepas, seorang pemandu ditahan kerana melakukan kesalahan tidak memilik kad pemandu dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan. Tetapi hari ini pemandu yang sama ditangkap kerana tidak guna meter.

“Ada seorang pagi pemandu yang ditangkap dua kali pada hari yang sama atas kesalahan yang sama, iaitu tidak guna meter, Mereka ini tak serik-serik. Siang buat salah, malam pun buat lagi,” keluhnya lagi.

Orangramai yang mahu membuat sebarang aduan mengenai kesalahan pemandu teksi, bas atau lori boleh menghubungi hotline SPAD di talian SPAD 1-800-88-7723 atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my atau menerusi twitter ke @aduanSPAD. – 2/11/13.









Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap