Skip to main content

E-hailing tingkat pendapatan pemandu teksi


KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pemandu teksi mengakui perkhidmatan e-hailing iaitu aktiviti tempahan teksi secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih meningkatkan pendapatan mereka sekali ganda berbanding ketika menjalankan operasi teksi secara konvensional.

Seorang pemandu teksi, Rizki Malindo Wijaya, 28, berkata, sejak menggunakan perkhidmatan tersebut setahun lalu, pendapatannya bertambah sekali ganda iaitu daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

“Penumpang kini lebih gemar menggunakan aplikasi tertentu untuk mendapatkan khidmat teksi kerana mudah dan pantas. Jadi sebagai pemandu teksi, kita perlu mengikut peredaran semasa tak boleh ikut cara lama.

“Kerajaan pun telah beri geran RM5,000 kepada pemandu teksi yang layak, jadi kepada mereka yang belum mempunyai kereta sendiri, jangan lepaskan peluang beli kereta baru dan mulakan operasi menggunakan e-hailing,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Bagi Permit Teksi Individu di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyerahkan 300 lesen teksi individu kepada pemandu yang telah tamat tempoh perjanjian sewa-pajak kenderaan mereka.

Daripada jumlah tersebut, 125 pemandu teksi diberikan geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000. 

Lesen dan geran disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu, G.Saroja, 50, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak lupa kepada golongan pemandu teksi dalam Bajet 2018.

“Melalui peruntukan geran sebanyak RM5,000, saya rasa ia memberi harapan baru kepada pemandu teksi yang selama ini terikat dengan perjanjian sewa-pajak kenderaan mereka.

“Saya bercadang untuk membeli sebuah keretadan menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana ramai rakan-rakan saya menggunakannya dan ternyata pendapatan mereka lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lee Chuan Chin, 57, berkata, biarpun tidak biasa dengan teknologi-teknologi moden, namun dia berusaha menggunakannya bagi meningkatkan pendapatan.

“Dulu semua orang pilih teksi sebab aplikasi Grab, Uber dan macam-macam lagi tidak wujud, tapi sekarang pengguna lebih suka guna cara baru ini.

“Apa yang saya boleh buat adalah ikut kemahuan pengguna, kalau masih menggunakan cara lama takut tiada orang mahu dapatkan perkhidmatan saya lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap