Operasi tren kargo sepanjang laluan Rawang – Salak Selatan digantung - SPAD




SPAD MENGARAHKAN KTMB UNTUK MENGGANTUNG OPERASI TREN KARGO SEPANJANG LALUAN RAWANG - SALAK SELATAN BERIKUTAN KEGELINCIRAN

 KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2017 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandang serius kejadian kegelinciran tren kargo KTMB di stesen Bank Negara yang telah mengakibatkan ramai pengguna KTM mengalami gangguan perkhidmatan.

 Suruhanjaya menganggap bahawa kejadian itu tidak boleh diterima dan dengan itu telah mengarahkan KTMB bagi mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh mengenai insiden tersebut bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran.

 Sebagai langkah berjaga-jaga yang segera, SPAD telah mengarahkan KTMB untuk menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan sehingga siasatan dimuktamadkan. Di samping itu, SPAD telah menegaskan kepada KTMB untuk mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabaknya bagi memastikan keselamatan terjamin.

 Suruhanjaya juga telah mengarahkan KTMB bagi mempercepatkan projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bertujuan untuk menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42km, terutamanya di landasan sejauh 7km di antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan (track quality index) dalam sektor ini perlu dipertingkatkan dengan kadar yang segera.

 KTMB juga diminta untuk melakukan pemulangan tambang kepada penumpang ETS yang mengalami gangguan perjalanan serta ingin membatalkan perjalanan mereka. Ini bagi memastikan penumpang tidak menanggung sebarang kos tambahan bagi perkhidmatan MRT dan bas, di samping itu mereka juga boleh mengubah tarikh perjalanan.

 Penumpang yang terjejas berikutan gangguan perkhidmatan ini boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti MRT di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan LRT dari Subang Jaya. KTMB juga akan memastikan penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dihubungkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

 Di samping itu, SPAD telah mengarahkan KTMB untuk menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan Sentul-KL Sentral-Sentul, sebagai satu alternatif perjalanan bagi penumpang yang terjejas. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, penumpang boleh menghubungi KTMB pada talian 03 22671200. Setelah penemuan siasatan dimuktamadkan, Suruhanjaya akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti mengambil tindakan tegas yang termasuk penalti kewangan sekiranya KTMB didapati cuai.

 -Tamat-


Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap