Pindaan APAD - pemandu teksi tarik nafas lega

Keputusan parlimen meluluskan Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenai e-hailing kelmarin akan memberi banyak manfaat dan pasti membuat pemandu teksi menarik nafas lega.

Ini kerana selain dapat meneruskan pekerjaan seperti biasa, mereka juga pada masa yang sama boleh menjadi pemandu UBER atau Grabcar atau mana-mana syarikat yang mempunyai lesen e-hailing. Malah mereka mempunyai pilihan sama ada mahu mengenakan caj mengikut meter atau caj yang digunakan dalam aplikasi e-hailing.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azharuddin Mat Sah pada sidang media, Selasa.

"Daripada bergaduh sesama sendiri adalah lebih baik berkolaborasi. Saya mengalu-alukan syarikat-syarikat e-hailing mengajak pemandu-pemandu teksi menyertai mereka.

"Pemandu teksi tak perlu mengambil lesen khas. Mereka boleh mendaftar dengan mana-mana syarikat e-hailing. Tetapi terpulang kepada syarikat itu untuk menerima mereka," katanya.

Azharuddin berkata, keputusan kabinet meluluskan pindaan akta itu juga memberi kuasa kepada SPAD untuk merangka, melaksana, menyelia  dan memantau pengeluaran lesen ehailing kepada syarikat seperti Grab, UBER, Easy Cab dan lain-lain.

Katanya ia juga bermakna syarikat-syarikat itu kini juga tertakluk kepada akta APAD dan mereka diwajibkan mendapatkan lesen e-hailing dari SPAD.

Menurutnya lagi, syarikat e-hailing mesti juga berdaftar dengan Suruhanya Syarikat Malaysia (SSM) di mana ia mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah warganegara Malaysia serta mempunyai Rancangan Perniagaan yang kukuh.

Selain itu katanya pemandu e-hailing dan kenderaannya mesti berdaftar dengan SPAD dan syarikat mesti menyediakan insurans yang melindungi pemandu, penumpang, kenderaan dan pihak ketiga.

Katanya SPAD juga mensyaratkan aplikasi yang digunakan oleh syarikat e-hailing mesti mempunyai ciri-ciri yang ditentukan oleh suruhanjaya seperti GPS, kebolehupayaan, sistem rating dan butang S.O.S.

Menurutnya lagi, pemandu e-hailing mesti memperoleh Kad Pemandu Digital, menghadiri kursus perkhidmatan pelanggan, lulus ujian kesihatan di mana-mana klinik yang diiktiraf kerajaan, serta tidak mempunyai rekod jenayah, saman atau kompaun.

Azharuddin berkata SPAD akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia untuk memeriksa rekod pemandu e-hailing (sebagaimana yang dilakukan kepada pemandu telsi) bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

"Pemandu juga mesti menghantar kenderaan mereka ke Puspakom selepas 3 tahun dari tarikh pendaftaran di JPJ. Selepas itu mereka cuma perlu menghantar setahun sekali (sebelum ini setahun dua kali). Hanya kenderaan berusia kurang dari lima tahun boleh beroperasi," katanya.

Mengulas mengenai pemandu teksi yang terbelenggu dengan sistem pajakan yang berat sebelah, Azharuddin berkata, pindaan akta ini juga membolehkan SPAD mengeluarkan borang dan merangka kandungan sebarang perjanjian pajak di antara pengusaha berlesen dan pemandu teksi mereka.

"Antara langkah penambahbaikan sistem pajak ini ialah syarikat diwajibkan memenuhi KPI, antaranya memulangkan deposit sebaik tamat kontrak, mendapatkan insurans peribadi untuk pemandu, dan boleh dikenakan penalti jika menamatkan kontrak lebih awal.

"Syarikat juga tidak boleh mengenakan sewa pada hari kenderaan dihantar ke Puspakom, memberi cuti tahunan dan cuti sakit, serta berkongsi keuntungan daripada pengiklanan dengan pemandu di samping menyediakan uniform untuk mereka," katanya.

Menurutnya lagi, di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TTIP), pemandu yang di bawah kontrak pajak dengan syarikat teksi yang telah tamat tempoh pajakan, layak memohon lesen individu.

Katanya, setakat ini sejumlah 3,474 permohonan telah diterima dan 1,722 telah diluluskan. Geran sejumlah RM2.155 juta telah diberikan kepada 431 penerima sehingga hari ini.

"Pindaan akta ini membolehkan kerajaan memastikan rakyat rasa selamat menggunakan perkhidmatan ehailing. Jika ada sebarang komplen, penumpang atau orang awam boleh terus buat aduan kepada SPAD," katanya. - 1/8/17


Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD