Ops Tegas: SPAD sita 10 van sekolah haram





JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini menyita 10 van persendirian yang menjalankan perkhidmatan awam tanpa Lesen Pengendali yang sah dengan mengambil dan menurunkan murid sekolah.

 Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata 10 van berkenaan dikesan ketika waktu puncak iaitu sekitar tengah hari dan petang di beberapa lokasi sasaran dalam kawasan bandar raya ini.

 Katanya, antara lokasi tumpuan Ops Tegas adalah sekitar Bandar Baru Uda, Seri Alam, Taman Daya, Gelang Patah dan Taman Universiti. "Kami membuat operasi ini berdasarkan aduan bas sekolah beroperasi tanpa permit dan tiada lesen pengendali yang sah mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

 "Bagi kesalahan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain kenderaan yang terbabit boleh dilucut hak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 Che Hasni berkata, SPAD menjalankan operasi berkenaan secara teliti dan berhemah kerana tidak mahu menjejaskan keadaan murid sekolah dan ibu bapa murid terbabit. "Kita tidak mahu murid ini ditinggalkan atau diminta turun oleh pengusaha van sehingga menyebabkan tahap keselamatan mereka terjejas, jadi kami menggunakan pendekatan lebih berhemah.

 "SPAD juga menggunakan pendekatan menarik pemandu atau pengusaha ini untuk mendaftar (mendapatkan lesen dan permit), selain mempermudahkan syarat untuk mereka membuat pendaftaran," katanya. - Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap