Projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur - Klang sepanjang Lebuh Raya Persekutuan dibuka untuk bidaan





SPAD MELANCARKAN PERMINTAAN UNTUK CADANGAN (RFP) BAGI MEMBANGUNKAN PROJEK LALUAN BAS RAPID TRANSIT (BRT) KUALA LUMPUR - KLANG 

Kuala Lumpur, 18 Januari, 2017 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melancarkan Permintaan Untuk Cadangan (‘Request for Proposal,’ RFP) bagi menjemput pihak-pihak yang berminat untuk membida di dalam pelaksanaan projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur - Klang sepanjang Lebuh Raya Persekutuan. 

BRT Kuala Lumpur – Klang merupakan laluan paling utama di antara 12 koridor BRT yang telah dikenal pasti di bawah Kajian Kebolehlaksanaan BRT Lembah Klang. BRT Kuala Lumpur – Klang yang dicadangkan ini merupakan laluan khusus bagi bas sepanjang 34km dilengkapi dengan 25 stesen serta bakal meningkatkan kesalinghubungan antara laluan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KTM Komuter. Hentian bagi laluan BRT tersebut juga akan dihubungkan dengan perkhidmatan bas yang lain. Cadangan projek BRT Kuala Lumpur - Klang ini akan mengurangkan masa perjalanan daripada Bandar Raya ke Klang kepada hanya 40 minit berbanding 70 minit ketika ini. Projek ini dianggarkan memberi manfaat kepada 1.9 juta penduduk di sekitar Lembah Klang dan diramalkan akan memberi perkhidmatan lebih daripada 400,000 penumpang. 

RFP ini adalah terbuka kepada semua pembida yang berdaftar di Malaysia dan mempunyai pengalaman di dalam projek-projek transit atau infrastruktur dan pembinaan. Skop pelaksanaan termasuk perancangan keseluruhan projek, mereka bentuk, kewangan, membina, mengendali, menyelenggara dan menaik taraf projek BRT Kuala Lumpur - Klang. 

Pihak yang berminat adalah disarankan untuk melawat laman sesawang SPAD di http://www.spad.gov.my/tenders bagi mendapatkan maklumat tambahan. Mereka juga boleh merujuk kepada iklan yang telah diterbitkan pada 17 Januari, 2017 di dalam akhbar Berita Harian, New Straits Times dan The Star. Tarikh akhir bagi penyerahan cadangan adalah pada 2 Mei sebelum 12 tengah hari. 

Maklumat tambahan mengenai projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur – Klang 

Bas Rapid Transit (BRT) telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif utama bagi transformasi industri bas di Greater KL/ Lembah Klang di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Susulan itu, BRT telah diperkenalkan di Malaysia pada Jun 2015 dengan pelancaran BRT Sunway. BRT laluan KL - Klang pula merupakan koridor yang paling utama daripada 12 koridor yang telah dikenal pasti dalam Kajian Kebolehlaksanaan BRT bagi Lembah Klang. Projek BRT Kuala Lumpur - Klang yang dicadangkan ini dianggar akan memberi manfaat kepada 1.9 juta penduduk di sekitar Lembah Klang dan diramalkan akan memberikan perkhidmatan kepada lebih 400,000 penumpang.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap