30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap





Bayangkan perjalanan dari Sungai Buloh ke Putrajaya hanya akan mengambil masa 30 minit sahaja! Ini bukan omong kosong, tetapi akan menjadi realiti apabila projek Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) siap sepenuhnya.

Jaminan itu diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Razak ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi fasa dua Laluan SSP  di Putrajaya, Khamis.

Majlis pecah tanah projek itu yang bernilai RM32 bilion diadakan berhampiran Stesen Putrajaya Sentral dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk apabila laluannya siap sepenuhnya menjelang  2022.

Laluan SSP sejauh 52.2km itu mempunyai 37 stesen, di mana 11 stesen adalah stesen bawah tanah sejauh 14.5km.  Ia akan beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exhange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.

Laluan SSP juga akan dilengkapi dengan 9,200 kemudahan parkir di 15 stesen. Sebaik beroperasi ia dijangka boleh membawa sejumlah 529 ribu penumpang setiap hari.

Fasa pertama Laluan SSP antara stesen Sungai Buloh dan Kampung Batu akan mula beroperasi pada Julai 2021, sementara keseluruhan laluan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2022.

Laluan SSP juga akan mempunyai 13 stesen bersepadu dengan Transit Aliran Ringan (LRT), KL Monorel dan Express Rail Link. Selain itu akan diwujudkan stesen pertukaran di Bandar Malaysia Selatan untuk Rel Keretapi Laju (HSR) pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata majlis pecah tanah itu adalah manifestasi dan lambang komitmen kerajaan yang tidak bebelah bahagi untuk melakukan transformasi yang besar kepada pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang.

"Pada mulanya kita tidak cukup fokus pada pembangunan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan kita menanggung akibatnya pada hari ini, dengan kesesakan lalu lintas bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di kebanyakan bandar dan lebuhraya yang berada luar dari kawasan ini.

"Kebolehpercayaan dan kepuasan pengguna mesti diutamakan dalam soal pengangkutan awam. Kita tidak boleh ketinggalan. 

"Yakinlah, sebagai Perdana Menteri saya akan terus memberikan perhatian penuh untuk membangunkan satu sistem pengangkutan awam yang moden, cekap, boleh dipercayai dan selamat untuk rakyat.  Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara yang juga pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan beberapa menteri kabinet.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia