Jangan Ugut Keputusan Kerajaan - Syed Hamid

Tak payah ugut-ugut sebab keputusan adalah muktamad, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar ketika diminta ulas ugutan persatuan teksi nak sokong pembangkang atau parti Bersatu yang jika kerajaan membenarkan UBER-Grab Car beroperasi.

Beliau berkata demikian selepas sidang media mengumumkan keputusan kabinet meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, Selasa.
"Saya fikir ugutan ini tak patut timbul kerana kalau kita tengok di segi manfaat dan perkara-perkara yang telah lakukan untuk golongan ini amat banyak sekali.

"Kerajaan buka peluang supaya industri ini maju, pengguna dan pengusaha pun untung. Saya harap mereka dapat melihat secara positif. Tak payahlah ugut kita dan kerajaan. Tengok apa kesan pelaksanaannya.

"Keputusan kerajaan mutamad. Sama ada dia cakap akan masuk parti pembangkang atau tidak, itu tidak menjadi isu. Yang paling penting kita nak transformasi industri teksi dapat dilakukan," katanya kepada Agendadaily.

"Hentikanlah ugutan-ugutan ini. Saya harap mereka dapat terus menyokong kerajaan lagipun ini akan membawa banyak kebaikan untuk mereka," tambahnya.

TITP berasaskan empat prinsip utama, iatu memanfaatkan penggunaan teknologi (termasuk mengawalselia aplikasi e-hailing seperti diguna UBER/Grabcar), meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi, meningkatkan mutu perkhidmatan pemandu dan menyemak semula kadar tambang teksi.

Diminta mengulas tohmahan "SPAD bodoh, malas dan tak ada otak" dari seorang pemimpin persatuan teksi, Syed Hamid cuma tergelak.

"Dia kata kita bodoh, jadi kalau kita jawab kita akan jadi bodoh. Jadi lebih baik tak usah jawab. Kita mohon pada Allah supaya memberikannya taufik dan hidayah," katanya dalam nada berseloroh.
"Setahu saya rekod kita tidak menunjukkan dia pemandu teksi atau memiliki teksi," tambahnya.
Syed Hamid berkata, dalam sesi taklimat dan dialog antara SPAD bersama pengusaha dan pemandu teksi pagi Selasa, isu mengenai UBER dan Grabcar turut dibangkitkan.

Katanya pemandu teksi seharusnya mengambil kesempatan untuk bersaing menggunakan aplikasi menempah perkhidmatan sewaan atas talian (e-hailing) seperti yang dibuat oleh GrabCar dan UBER.
Dalam perkembangan lain, sebagai ahli politik veteran, Syed Hamid turut diminta mengulas penubuhan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya lahir dalam UMNO jadi saya tidak boleh melihat diri ini berubah daripada UMNO. Oleh sebab itu saya fikir apa parti pun kita tubuhkan, untuk bertapak sebagaimana yang telah dilakukan oleh UMNO, susah sikitlah," katanya.

Syed Hamid bersetuju dengan Tun Musa Hitam yang mencadangkan supaya pilihanraya umum diadakan lebih awal untuk mengelakkan pembangkang mendapat ruang memainkan isu-isu yang akan memberikan kelebihan politik kepada mereka.

Katanya UMNO tidak perlu khuatir, sebaliknya perlu bijak mengurus politik masakini.
"Kita banyak isu yang perlu diketengahkan seperti integriti dan keyakinan. Jangan kita buat sesuatu yang boleh menjadikan orang tak tertumpu kepada apa yang Barisan Nasional (BN) telah buat," katanya.

Syed Hamid berkata cabaran yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak amat berbeza jika dibandingkan dengan Perdana Menteri yang terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Najib datang dalam zaman yang sudah berubah. Semasa saya menjadi Menteri di zaman Mahathir dan Pak Lah, isu-isu dan budaya politik adalah berbeza. Saya tengok sekarang, pegang jawatan SPAD pun tak mudah kerana manusia tidak ada lagi adab, tertib.

"Dunia siber boleh dikatakan satu rimba yang buas. Oleh itu Najib berdepan dengan permintaan dan permainan politik yang berbeza dan dia perlu menangani bukan sahaja kesan domestik tetapi juga global," katanya.

Syed Hamid tidak menganggap Tun Mahathir sebagai satu ancaman kepada UMNO kerana berpendapat bekas Perdana Menteri itu mengetengahkan isu-isu yang dia tahu adalah isu politik.
"Untuk seorang yang kita hormat sebagai negarawan, dia tak perlu terlibat ke kancah politik sehingga boleh merosakkan nama baik dan imejnya sendiri," katanya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap