Dana Sokongan Untuk Bas Henti-Henti Demi Keselesaan Rakyat

TRANSFORMASI INDUSTRI BAS TETAP MENJADI TUMPUAN KERAJAAN
Peruntukan RM142.7 Juta Menjadi Talian Hayat Bagi 65 Pengendali Bas


Kuala Lumpur (9, Ogos 2016) – Transformasi industri bas berhenti-henti tetap menjadi keutamaan bagi Kerajaan dengan penyaluran dana sebanyak RM142.7 juta di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) 2016. Pengguna bas yang bergantung kepada bas berhenti-henti untuk perjalanan harian merentasi bandar-bandar kecil dan desa, akan terus menikmati perkhidmatan tanpa gangguan. Peruntukan yang kritikal ini akan disalurkan kepada 65 pengendali bas henti-henti yang telah memohon untuk mendapatkan bantuan pada tahun ini.

Pada bulan Mei tahun ini, beberapa pengendali telah memohon agar Kerajaan meneruskan bantuan ISBSF bagi membolehkan mereka untuk menyambung operasi dan perkhidmatan bas di sepanjang laluan yang kurang pengguna atau tidak menguntungkan. Ini adalah penting terutamanya bagi kawasan yang masih mempunyai permintaan daripada kalangan pengguna berpendapatan rendah.
Kami telah mula memproses permohonan bagi 2016, dan setakat ini, pengendali dari Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu, telah menerima bantuan kewangan berjumlah RM11.62 juta. SPAD akan terus menilai permohonan yang diterima dan mengagihkan dana kepada syarikat-syarikat bas yang layak menerima bantuan pada tahun ini.

ISBSF diperkenalkan pada 2012, bagi menampung kerugian harian yang ditanggung oleh pihak pengendali. ISBSF adalah satu langkah sementara bagi memastikan operasi bas berhenti-henti terutamanya bagi laluan di luar bandar. ISBSF telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 347 juta penumpang merentasi 608 laluan.

"Bas masih merupakan mod pengangkutan awam yang penting bagi bandar-bandar kecil dan kawasan yang tidak dihubungkan oleh perkhidmatan rel. Menyedari keperluan untuk mengekalkan laluan-laluan sosial yang penting ini, Kerajaan terus bertekad untuk meningkatkan perkhidmatan bas berhenti-henti melalui pelbagai inisiatif yang lebih mampan. Dengan penerusan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) ini oleh Kerajaan bagi tahun 2016, jumlah keseluruhan yang telah diperuntukan daripada 2012 sehingga kini adalah RM661.7 juta,"kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

Dari segi transformasi jangka panjang dan kemampanan industri bas, penerima dana ISBSF yang mengendalikan perkhidmatan di ibu-ibu negeri akan dialihkan kepada program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang telah memperkenalkan perkhidmatan myBAS pada tahun 2015. Program SBST direka untuk meningkatkan daya maju pengendali dan memperluaskan laluan bas dengan bermigrasi dari model kutipan tambang kepada model perkhidmatan baharu. Dengan pelaburan RM100 juta, SPAD telah mengoperasikan perkhidmatan myBAS di Kangar, Seremban dan Ipoh; serta bakal melancarkan perkhidmatan yang sama di Kuala Terengganu dan Johor Bahru " tambah Tan Sri Dato 'Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

"Dalam konteks Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, bas berhenti-henti yang menyokong sistem rel, sedang menjalani proses penyusunan semula sejak Disember 2015 yang disasarkan untuk mempertingkatkan perkhidmatan bas yang pada sebelum ini tidak konsisten disebabkan kekerapan yang tidak menentu terutamanya di kawasan yang mempunyai permintaan yang rendah.
Baru-baru ini juga, Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan bajet untuk meneruskan perkhidmatan bas percuma GoKL sehingga tahun 2021. Kami menganggarkan bajet tahunan sebanyak RM13 juta diperlukan bagi meneruskan perkhidmatan GoKL.

 Pada mulanya perkhidmatan GoKL terdiri daripada dua laluan, Hijau dan Ungu yang memberi perkhidmatan sepanjang laluan KLCC - Bukit Bintang dan laluan Pasar Seni - Bukit Bintang. Perkhidmatan GoKL telah dikembangkan pada tahun 2014 dengan dua laluan baru, biru dan merah untuk laluan Medan Mara - Bukit Bintang dan KL Sentral - Jalan Tuanku Abdul Rahman. Setiap hari, lebih daripada 52,000 warga kota terus menikmati perkhidmatan bas percuma GoKL,"kata Azharuddin Mat Sah.

- Tamat –

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Radha Warrier
Pengurus, Komunikasi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
Tel: +603 2726 7000/Faks: +607 2726 7300
Emel : communications@spad.gov.my

Syarikat-syarikat pengendali yang menerima bantuan ISBSF yang hadir pada 9 Ogos 2016:
Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohd Azharuddin Mat Sah pada hari ini, telah menyampaikan replika cek kepada wakil-wakil daripada lima belas (15) syarikat bas berhenti-henti daripada kumpulan pertama penerima bantuan ISBSF:






Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap