SPAD sedia lulus permohonan KTM tutup sebahagian landasan jika penuhi syarat

Permohonan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk menutup sebahagian daripada landasannya untuk menaiktaraf sistem bagi Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) akan diluluskan jika ia dapat memberi jaminan keselamatan pengguna dan perkhidmatan tidak akan tergendala.

"KTM hendaklah mengutamakan soal keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur dan sistem bagi KVDT.

"Selain itu KTM harus memastikan kekerapan perkhidmatan tren antara-bandar setiap 15 minit pada waktu puncak tidak terjejas dengan kerja-kerja naiktaraf berkenaan," kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

"Jarak kerja-kerja naik taraf itu akan membabitkan laluan sejauh 42 kilometer. Oleh itu kami boleh terima sekiranya perkhidmatan bukan waktu puncak akan terjejas daripada kebiasan setiap setengah jam kepada 45 minit.
"Bagaimanapun KTM mesti memastikan perkhidmatan waktu puncak dikekalkan, iaitu setiap 15 minit," katanya lagi.

Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja naiktaraf infrastruktur dan sistem bagi KVDT di Rawang Sentral dan Sungai Buloh Sentral.

Turut hadir ialah Presiden KTM Berhad, Lt Kol (B).Datuk Sarbini Tijan serta pegawai-pegawai kanan SPAD dan KTM.

"Kita tak mahu perkhidmatan tergendala dan keselamatan dikompromikan. Kerja-kerja ini akan memakan masa empat tahun.

"KTM mungkin akan berdepan dengan rungutan orangramai dan SPAD berharap ia dapat mengendalikannya sendiri dengan baik.

"Kita sudah menulis surat kepada KTM apa yang perlu mereka berikan tumpuan. Kita hanya regulator dan memantau. Tetapi pihak yang bertanggungjawab memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan baik mengikut apa yang tertera dalam kontrak ialah KTM.

"Kita akan membawa permohonan KTM kepada mesyuarat dan kita akan luluskan kalau ia memenuhi syarat-syarat yang kami tetapkan itu," katanya lagi.

Sementara itu Sarbini berkata, projek menaiktaraf KVDT penting untuk memastikan kesemua perkhidmatan keretapi dapat bergerak dengan lancar dan tidak berdepan dengan masalah kegelinciran serta kelewatan dan pembatalan.

Katanya ia juga bertujuan memastikan landasan keretapi dapat menampung keperluan dan perkhidmatan yang tinggi disusuli dengan pengenalan perkhidmatan komuter dan ETS yang lestari alam sekitar.

Menurutnya projek berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Fasa pertama membabitkan laluan Rawang-Simpang Batu serta Kuala Lumpur-Simpang Pelabuhan Kelang. Manakala fasa kedua membabitkan laluan Simpang Batu-Kuala Lumpur.

Fasa ketiga pula ialah laluan Sentul-Simpang Batu dan fasa keempat, Pelabuhan Klang-Salak Selatan. - 24/3/2016.







Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap