Maklum balas SPAD berkaitan video viral yang memaparkan salah laku pemandu bas ekspres






31 Januari, 2016 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD atau ‘Suruhanjaya’) ingin merujuk kepada video yang telah dikongsikan di media sosial baru-baru ini berkaitan salah laku pemandu bas ekspres yang telah mengasari penumpang pada Januari 25, 2016 ketika di dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang.

 Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ingin merakamkan rasa kesal atas pengalaman buruk yang telah dialami oleh penumpang tersebut. SPAD memandang serius perkara ini dan telah berhubung dengan penumpang terlibat bagi merekodkan kenyataan beliau.

 SPAD juga telah menggesa beliau untuk membuat laporan Polis dan susulan itu, laporan telah dibuat pada 28 Januari, 2016 di Balai Polis Melaka Tengah. SPAD akan terus menyokong dan berkongsi maklumat berkaitan pemandu dan pengendali terlibat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 Ini adalah untuk memastikan tindakan tegas dan pantas dapat diambil terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab tersebut.

 SPAD juga telah mengarahkan pengendali bas ekspres yang terlibat dalam kes ini untuk menghadiri temuduga siasatan pada 1 Februari 2016 untuk menjelaskan fakta-fakta dan mengumpul maklumat tambahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010.

 Suruhanjaya berperanan sebagai badan kawal selia dan pelesenan kepada bas ekspres, manakala PDRM menguatkuasakan aspek undang-undang jenayah.

 Kami menggesa orang ramai yang pernah mengalami pengalaman yang seumpama ini untuk membuat laporan segera kepada SPAD melalui aduan@spad.gov.my atau hubungi hotline ADUAN kami di 1-800-88-7723 (SPAD) bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil.

 Dengan maklumat yang tepat, pemandu yang tidak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan tindakan dapat diambil dengan pantas.

 Untuk memastikan tindakan yang diambil itu berkesan, SPAD memerlukan butiran berikut: nama penuh pengadu, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, lokasi, masa dan tarikh kejadian.

 Bahan bukti tambahan seperti rakaman audio atau video, atau maklumat yang membolehkan SPAD menghubungi saksi-saksi, akan meningkatkan keupayaan kami untuk bertindak terhadap pemandu. Suruhanjaya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pengusaha bas ekspres supaya terus memantau dengan teliti dan mendisiplinkan pemandu sekiranya terdapat salah laku.

 Ini adalah untuk memastikan mereka sentiasa sopan dan berhemah ketika memberikan perkhidmatan kepada penumpang.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap