Sultan Selangor diberi taklimat mengenai kemudahan LRT, Monorel
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli melakukan kunjungan terhadap sistem pengangkutan rel LRT Rapid KL dan Monorel.
Baginda memulakan lawatan dengan menaiki tren LRT Rapid KL di Stesen Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral.
Ketibaan baginda di Stesen KL Sentral akan disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamed Salim Din.
Kemudian baginda menaiki Monorel di Stesen KL Sentral dan turun di Stesen Monorel Bukit Nanas.
Menurut jurucakap Istana Selangor, lawatan Sultan Sharafuddin berdasarkan titah baginda di Dewan Undangan Negeri Selangor yang ingin mengalami sendiri perkhidmatan rel yang bakal melibatkan Selangor dalam projek LRT Line 3.
Dalam titah tersebut, Sultan Sharafuddin berharap rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang sekaligus dapat mengatasi masalah alam sekitar.
Pada sidang media selepas itu pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, Sultan Selangor bertitah dia amat sukacita dan puashati setelah dapat tengok dan rasa sendiri naik LRT dan Monorel.
"Sultan kata sistem pengangkutan LRT dan Monorel adalah satu penyelesaian yang baik untuk masalah pengangkutam Awam di Lembah Kelang," katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Prasana, Azmi Mohd Said berkata mereka telah memberikan taklimat mengenai projek jajaran LRT 3 (LRT3) yang akan menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia di Kelang sejauh 36km dan mengandungi 25 stesen.-16/4/2015
Comments
Post a Comment